Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Nasib penduduk di Kampung Gersik, Labuan sekali lagi menjadi tanda tanya selepas proses pengusiran mereka yang dijadualkan bermula pada 23 Nov tahun lalu ditangguhkan.

Bercakap kepada Malaysiakini sebelum ini, Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman berkata, penduduk kampung diberi masa sehingga hari ini (28 Feb) untuk mencari rumah baru sebelum proses pengusiran diteruskan.

Bagaimanapun, pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk kampung, Omar Abbang berkata, nasib mereka masih belum jelas.

Mereka yang tinggal di tanah milik Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) itu diberikan notis bertarikh 22 Mei 2023 untuk mengosongkan kawasan berkenaan.

“Kami telah dihubungi oleh seorang pembantu kepada Suhaili yang memberitahu mereka sedang berhubung dengan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan mengenai perkara ini.

“Mereka ingatkan Muis sudah memberi tempoh enam bulan kepada penduduk terbabit sebelum Suhaili meminta tambahan tiga bulan sebelum perobohan dilakukan.

“Perbadanan itu juga menyediakan rumah yang boleh disewa dan didiami penduduk dengan membuat permohonan secara dalam talian menerusi laman web Perbadanan Labuan," dakwanya.

Bagaimanapun, Omar berkata usaha menghubungi Ketua Menteri Sabah Hajiji Nor dan Suhaili secara langsung masih tidak berjaya.

“Kami juga pergi ke Kota Kinabalu untuk cuba bertemu Hajiji tetapi kami tidak berjaya. Kami juga menghubungi pimpinan Warisan di tempat kami tetapi mereka berkata mereka tidak boleh campur tangan,” tambah Omar.

Awal minggu ini Suhaili memberitahu Malaysiakini dia sedang meneliti perkara itu tetapi dia masih belum berbincang mengenainya.

Penduduk mendiami dua lot di Kampung Gersik dengan keluasan tanah seluas 14 hektar.

‘Bukan warganegara Malaysia’

Suhaili pada November lalu turut mempertikaikan beberapa dakwaan penduduk kampung, antaranya mempersoalkan terdapat 3,000 orang tinggal di kawasan itu.

Menurut Suhaili, dia merasakan ramai penduduk bukan warganegara Malaysia yang sah tetapi mereka yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial (IMM13).

Pas IMM13 ditujukan untuk pelarian Filipina yang memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan antarabangsa yang sah dari akhir 1972 hingga beberapa ketika pada 1984.

“Memandangkan orang kampung mengaku sebagai warganegara Malaysia, saya telah meminta mereka mengemukakan bukti. Selagi mereka benar-benar rakyat Malaysia, saya boleh memberitahu mereka tidak akan diusir tanpa kediaman yang diganti.

“Walaupun mereka bukan rakyat Malaysia, kami tidak akan menafikan tempat tinggal mereka. Ini adalah isu penyelesaian petempatan haram di tanah Muis yang sudah lama berlarutan,” kata Suhaili pada November.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS