Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ringgit bawah nilai sebenar, kata gabenor BNM
Diterbitkan:  Feb 27, 2024 3:52 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour berkata ringgit pada masa ini terkurang nilai dan sewajarnya diniagakan pada tahap yang lebih tinggi.

Dalam kenyataan tiga perenggan hari ini, dia berkata: "Memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi." 

Dia menambah bahawa BNM sedang meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak memandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Anwar berkata bank pusat telah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.

"(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan, namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran," katanya.

Anwar, yang juga menteri kewangan, turut meminta supaya isu kejatuhan nilai ringgit ketika ini tidak dijadikan “sepak terajang politik”.

Jelas Anwar, kerajaan pimpinannya sedang berusaha memastikan nilai ringgit kembali melonjak.

Memandangkan kemerosotan ringgit semasa menghampiri prestasinya ketika Krisis Kewangan Asia 1998, perdana menteri berkata keadaan semasa tidak boleh dibandingkan dengan apa yang berlaku lebih dua dekad lalu ketika dirinya juga adalah menteri kewangan.

Katanya, kejatuhan nilai ringgit kali ini adalah berbeza, dengan Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, manakala kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.

Dia juga mengulangi bahawa kerajaan tidak bergantung kepada dolar untuk perdagangan, dan memetik perdagangan dengan China misalanya yang menggunakan mata wang renminbi ataupun ringgit.

Sementara itu, Bernama melaporkan ringgit diniagakan pada 4.7770/7805 pada 12.32 tengah hari ini selepas dibuka pada 4.7775/7805 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.7750/7795 semasa ditutup pada Isnin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS