PARLIMEN | Ahli parlimen pembangkang petang ini keluar dari Dewan Rakyat, sebagai protes terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 negara, pada sebelah petang.
Sebelum itu, ketua pembangkang Hamzah Zainudin telah bangkit dari kerusinya untuk membantah masa ucapan Anwar, yang menurutnya sepatutnya dilakukan lebih awal pada permulaan persidangan Dewan Rakyat pagi ini.
Menurut Hamzah (PN-Larut), tidak pernah berlaku sebelum ini seorang perdana menteri menyampaikan ucapan sebegitu apabila perbahasan titah baginda sudah dimulakan di dalam dewan.
“Kalau nak kata merafak sembah tahniah dan terima kasih kepada Agong, buatlah tadi sebelum pencadang nak buat.
"Tadi pencadang dah ada, nak terima kasih apa lagi? Pencadang dah cakap dah. Dah ada penyokong. Tiba-tiba tengah-tengah tanya nak terberhenti kejap nak cakap terima kasih pasal apa?" katanya, dan mencadangkan Anwar menyampaikan ucapannya apabila ucapan penggulungan.
Bantahan Hamzah itu dibuat sebagai tindak balas kepada usul yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said, yang memohon kebenaran Dewan Rakyat agar Anwar menyampaikan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Sultan Ibrahim atas pertabalan baginda.
Cadangan itu segera disambut dengan bantahan pembangkang, sebelum speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menggesa undian blok. Ia menyaksikan majoriti ahli Dewan Rakyat menyokong cadangan membenarkan usul menteri itu.
Hamzah juga mengkritik keputusan majoriti itu, menyifatkan kerajaan menyalahgunakan majoritinya di Parlimen.
Anwar memberitahu ahli parlimen bahawa dia tidak dapat menyampaikan ucapan pada sebelah pagi kerana dia mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, yang sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia.
Anwar menyatakan "bantahan kerasnya" terhadap ahli parlimen pembangkang yang bertindak keluar ketika kerajaan merakamkan penghargaan kepada Agong.
Anwar turut membidas cadangan Hamzah supaya dia menyampaikan ucapan pada akhir sesi perbahasan.
"Saya sepatutnya datang pagi tadi, kita ada kunjungan rasmi drpd Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, sebab tu saya mohon kebeneran speaker untuk bentang 2.30 petang.
"Kalau kita nak terima kasih pada mantan Agong di akhir sidang, tak munasabah.
"Pembangkang tunjuk sikap tak sopan dan tak hormati insitutusi Agong,” kata Anwar.
Bercakap dalam sidang media sejurus selepas protes itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bersetuju dengan Hamzah.
"Ini agak luar biasa kerana usul menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong telah dibentangkan tadi dan disokong. Oleh sebab itu, apa yang berlaku hari ini agak luar biasa. Macam mana ada satu slot termasuk di tengah-tengah (perbahasan)?
"Mereka menggunakan majoriti... boleh buat apa yang suka (hati) sehingga tak ikut peraturan," kata Muhyiddin.