Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja Bangladesh terumbang-ambing: Muda gesa k'jaan bertindak
Diterbitkan:  Feb 26, 2024 6:38 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Muda Wilayah Persekutuan menggesa Kementerian Sumber Manusia bertindak segera terhadap dakwaan nasib lebih 100 pekerja asing Bangladesh di Cheras 'terumbang-ambing' selepas gagal mendapat pekerjaan yang dijanjikan kepada mereka.

Ketua Penerangan Muda Wilayah Persekutuan Shah Fariq Aizal Shah Ghazni menggesa kerajaan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang terhadap agensi pengambilan pekerja yang tidak bertanggungjawab.

"Kuala Lumpur, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50, tidak seharusnya menjadi pusat kegiatan sindiket yang menabur janji-janji manis kepada pekerja asing.

"Kekeliruan dalam hal ini akan mengakibatkan kesan yang serius terhadap imej bandar raya Kuala Lumpur serta berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak mini Dhaka selepas ini," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Shah Fariq juga menggesa kementerian supaya telus dalam kaedah dan rancangan untuk menangani isu itu.

"Bagaimana Kementerian (Sumbre Manusia) bertindak bagi menangani serius isu yang melibatkan majikan yang tidak bertanggung jawab dengan yuran pengambilan yang tinggi, perampasan passport, serta penderaan fizikal dan mental terhadap pekerja asing,” soalnya.

Aktivis hak asasi migran Andy Hall mendakwa lebih 100 pekerja migran Bangladesh telah berada di Cheras sejak tiba pada November tahun lalu selepas pekerjaan yang dijanjikan kepada mereka gagal menjadi kenyataan.

Hall berkata pada satu laporan mengatakan 104 pekerja itu diambil oleh sebuah syarikat pembinaan yang berpangkalan di Cheras.

Menurut laporan itu, para pekerja telah membayar yuran pengambilan yang terlalu tinggi - antara RM19,500 dan RM21,700 - dan dijanjikan kemudahan yang baik serta pekerjaan bergaji tinggi.

Kebanyakan pekerja, kata laporan itu, terpaksa meminjam wang daripada pelbagai sumber untuk membayar yuran, seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam ikatan hutang yang ketara.

Laporan itu juga mendakwa pekerja terpaksa tinggal dalam keadaan terkurung dengan hanya satu kemudahan tandas disediakan untuk lebih 100 pekerja.

Selain makanan yang tidak mencukupi untuk pekerja di mana mereka diberi menu sama iaitu nasi, kacang dal dan kentang lecek, kadangkala dibiarkan tanpa makanan sehingga empat hari.

Pasport pekerja juga dirampas oleh majikan mereka semasa tiba di sini, menyebabkan mereka tidak dapat menuntut hak atau mendapatkan bantuan.

Sementara itu, laporan itu juga menyebut seramai 18 pekerja telah dipindahkan ke penempatan baru di Terengganu yang memuatkan kira-kira 300 pekerja yang kebanyakannya didakwa menganggur dan tidak mempunyai dokumen.

Hall telah menulis surat kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim serta pegawai berkaitan di Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat dakwaan tersebut dan meminta tindakan diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS