Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya menunjukkan contoh yang baik ketika bersidang harus dipatuhi bagi memastikan kualiti perbahasan dapat dipertingkat sekali gus memupuk sifat saling menghormati sesama ahli dewan.
Yang di-Pertua Dewan Negara Mutang Tagal berkata berdasarkan sesi persidangan lepas yang boleh ditonton secara langsung menerusi kaca televisyen dan media sosial, sesetengah ahli dewan menunjukkan tabiat kurang sopan serta suka memaki hamun.
Katanya sebagai ahli parlimen yang dipilih rakyat dan senator berpengalaman dalam pelbagai bidang, mereka sepatutnya menyuarakan kepentingan dan isu rakyat, bukannya membangkitkan isu politik yang tidak berkesudahan serta saling memburukkan antara satu sama lain.
“Pada akhirnya, rakyat ingin tahu sama ada kebimbangan mereka seperti kos sara hidup boleh diselesaikan (atau tidak), manakala infrastruktur seperti kesihatan, perkhidmatan sosial dan pendidikan disediakan untuk mereka bukan hanya di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar.
“Untuk ahli Dewan Negara, semua itu adalah perkara yang senator perlu bangkitkan, jangan bawa isu politik semata-mata.
"Kita tidak mahu dilihat sebagai pak turut,” katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam titah diraja memberikan lampu hijau kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas ketika bersidang.
Seri Paduka Baginda dalam istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini bertitah tindakan termasuk gantung selama 14 hari boleh dikenakan ke atas ahli parlimen terbabit jika mereka masih berdegil.
Mutang berkata ruang perbahasan yang ada harus digunakan sebaik mungkin bagi membincangkan isu semasa untuk mencari penyelesaian dan pada masa sama, emosi dan perasaan perlu dikawal.
“Mereka harus menguasai diri sendiri dan perasaaan supaya dapat memberikan perbahasan yang baik, bernas dan jangan bercakap perkara remeh-temeh sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara,” katanya yang baharu dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara pada 19 Feb lepas.
- Bernama