Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan ringgit saja, duit Jepun, China dan Asean pun susut - PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata bukan hanya ringgit sahaja yang merosot kerana mata wang Jepun (yen), China (renminbi) dan negara Asean lain juga mengalami penurunan.

Jelasnya, cuma dolar Singapura yang menjadi satu-satunya mata wang Asean yang tidak mengikut rend penyusutan itu.

“Kita hadapi masalah kejatuhan nilai ringgit yg juga menimpa yen jepun, renminbi cina, dan semua currency mata wang negara Asean melainkan Singapura,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor hari ini.

Semalam, Anwar meminta supaya isu kejatuhan nilai ringgit ketika ini tidak dijadikan “sepak terajang politik”.

Jelas Anwar, kerajaan pimpinannya sedang berusaha memastikan nilai ringgit kembali melonjak.

Nilai tukaran ringgit telah berlegar sekitar RM4.77 hingga RM4.78 berbanding dolar AS dalam beberapa hari dagangan lepas.

Ini menyebabkan beberapa pihak, termasuk pembangkang membidas cara kerajaan mengendalikan ekonomi.

Anwar, yang juga menteri kewangan, bagaimanapun, berulang kali berhujah bahawa penurunan ringgit tidak menjejaskan keyakinan pelabur di Malaysia manakala menegaskan inflasi dan pengangguran semakin berkurangan.

Pada Khamis, perdana menteri mengumumkan Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi daripada 2022, dengan pelaburan asing merupakan penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus, berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Ia disebut-sebut jumlah pelaburan tertinggi yang diluluskan dalam sejarah negara.

Namun, pengkritik berkata pelaburan yang diluluskan akan mengambil masa untuk kesan ekonominya direalisasikan.

Ketika ditanya Malaysiakini sekiranya terlalu awal untuk meraikan pelaburan yang diluluskan, Anwar menjawab ringkas "tidak, ia telah pun diluluskan."

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS