Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiong: KP Tourism M'sia turun pangkat sebab tak boleh buat kerja

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing berkata ketua pengarah Tourism Malaysia Ammar Abd Ghapar diturunkan pangkat kepada timbalan ketua pengarah kerana gagal berkhidmat dengan berkesan.

Menurut Tiong, Ammar sudah diberikan banyak peluang namun gagal mencapai tahap prestasi yang diharapkan.

"Saya memang sudah bagi banyak kali peluang dan nasihat...(kata) buat terbaik untuk negara kita. Tapi Saya tak tahu (jika) dia tiada idea atau tidak tahu macam nak buat (jalankan tugas).

"Kalau anda tak boleh perform memang saya akan tukar. Saya tidak pecat (Ammar), saya turunkan pangkat dia saja," kata Tiong ketika ditemui ketika program Hari Kraf Kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tiong berkata dia memberikan peluang kepada Ammar sebelum ini kerana dia memiliki ijazah doktor falsafah (PHD) dalam bidang pelancongan namun khidmat yang diberikannnya tidak setara dengan kelulusan itu.

Dia juga berkata Ammar bukanlah pilihan utama untuk memegang jawatan itu bagi menggantikan ketua pengarah sebelumnya, Zainuddin Abdul Wahab yang bersara wajib pada April lalu.

Ammar Abd Ghapar

Semalam, Ammar mengesahkan menerima surat daripada Tion yang memaklumkan khidmatnya sebagai ketua pengarah Tourism Malaysia ditamatkan bermula Isnin ini.

Bercakap kepada portal Malay Mail, dia menyuarakan kekecewaannya dengan apa yang berlaku setelah berada dalam perkhidmatan awam selama 36 tahun.

"Dipindah ke mana, pegang jawatan apa, gred apa, Ia tidak nyatakan apa-apa lagi...saya berasa sangat kecewa dan sedih," katanya seperti dipetik.

Tourism Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992.

Seksyen 10 akta itu memberi kuasa kepada menteri pelancongan untuk melantik seorang ketua pengarah lembaga dengan terma dan syarat ditentukan oleh menteri sendiri.

Tiong memaklumkan pengarah kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) yang juga memangku jawatan timbalan ketua pengarah (perancangan) P Manoharan akan menggantikan Ammar.

Sementara itu, Tiong juga mendakwa Ammar antara lain gagal menarik kemasukan pelancong asing, antaranya dari China, ke Malaysia seperti yang disasarkan.

"Dia tak boleh merancang...dia tak berhubung dengan negara luar (untuk tarik pelancong). Siapa boleh (buat kerja) saya beri (jawatan), yang tak boleh, turunlah.

"Kita baru terima (kemasukan) 1.6 juta (pelancong dari China) pun saya yang beri promosi...Saya minta dia follow up, tapi dia tak buat," dakwanya, sambil menambah tiada sebab untuk Malaysia ketinggalan dengan Thailand dalam usaha menarik pelancong dari negara itu.

Susulan pelucutan jawatan Ammar, Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyatakan rasa terkejut dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang serius.

Presiden KPPLPPM Alwi Shakir Abdullah ini kerana tarikh surat dikeluarkan dan tarikh ia berkuat kuasa amat singkat dan mengundang tanggapan negatif kepada pihak terlibat.

Dia juga menggesa Tribunal Penjawat Awam diwujudkan semula sebagai platform untuk kakitangan awam mendapat pembelaan jika wujud sebarang pertikaian membabitkan tugas mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS