Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPPLPPM minta kerajaan wujudkan semula Tribunal Penjawat Awam
Diterbitkan:  Feb 24, 2024 10:17 AM
Dikemaskini: 2:17 AM

Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyarankan agar Tribunal Penjawat Awam - yang pernah wujud suatu ketika dulu - dihidupkan semula.

Presidennya Alwi Shakir Abdullah berkata badan tersebut boleh dijadikan tempat untuk kakitangan awam mendapat pembelaan jika wujud sebarang pertikaian membabitkan tugas mereka.

Menyatakan rasa terkejut dengan penamatan perkhidmatan Ammar Abd Ghapar selaku Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan berkuat kuasa Isnin ini, Alwi berkata ia merupakan perkara serius.

Hal itu kerana, katanya, tarikh surat dikeluarkan dan tarikh ia berkuat kuasa amat singkat iaitu hanya lima hari dan mengundang persepsi negatif terhadap pihak yang berkenaan.

"Bagi perkara ini, KPPLPPM mengambil pendirian bahawa perlu ada satu tempoh masa yang lebih adil diberikan agar keharmonian dikekalkan, bukan sahaja dalam agensi malahan dalam kalangan penggiat industri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan bahawa Ammar mengesahkan perkhidmatannya di Tourism Malaysia ditamatkan melalui surat dikeluarkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing..

"Surat itu hanya menyatakan berkuat kuasa pada 26 Februari, saya bukan lagi KP (ketua pengarah).

“Dipindah ke mana, pegang jawatan apa, gred apa, ia tidak nyatakan apa-apa lagi," katanya dipetik portal Malay Mail.

Ammar juga mengakui berasa sangat kecewa dan sedih atas tindakan tersebut selepas berkhidmat dalam kerajaan selama 36 tahun.

Alwi berkata penamatan tugas sebagai ketua pengarah itu menimbulkan kegusaran dan boleh memberi kesan kepada pekerja di sektor perhotelan dan pelancongan negara yang membabitkan hampir 3 juta orang.

"Persoalan yang diutarakan oleh pihak industri selaku pemegang taruh wajar diberi penjelasan," katanya.

Menurut Alwi juga satu pekeliling atau arahan berkenaan pertukaran, peminjaman atau penamatan tanpa sebab munasabah seperti dikenakan ke atas Ammar perlu disertakan klausa tertentu.

Misalnya kata Alwi membabitkan tempoh masa notis sekurang-kurangnya sebulan bagi menepis persepsi negatif terhadap penjawat awam secara keseluruhan.

"KPPLPPM juga berpendapat Tribunal Penjawat Awam perlu diwujudkan kembali agar terdapat platfom yang boleh digunakan untuk representasi diri jika merasakan penganiayaan telah berlaku terhadap mereka," katanya.

Tribunal Penjawat Awam pernah ditubuhkan kerajaan mengikut Akta Tribunal Perkhidmatan Awam 1977.

Ia berperanan antara lain untuk menimbang tara sesuatu pertikaian membabitkan pihak yang berkenaan selepas ia gagal dicapai di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam.

Konflik berkenaan kemudian boleh dirujuk ke tribunal terbabit untuk mendapatkan penyelesaian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS