Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Spanco: Jangan samakan saya dengan PM ke-10, kata Muhyiddin
Diterbitkan:  Feb 24, 2024 9:07 AM
Dikemaskini: 1:10 AM

Muhyiddin Yassin berkata, Putrajaya sepatutnya mendedahkan mengapa surat hasrat (LOI) yang diberikan PH kepada sebuah syarikat untuk kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan dibatalkan oleh PN kemudiannya.

Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu itu menambah dia yakin maklumat mengenai perkara tersebut ada tersimpan di Kementerian Kewangan.

Menteri Dalam Negeri semasa PH menjadi kerajaan itu menambah, kerajaan juga perlu mendedahkan tarikh kontrak membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan diberikan kepada syarikat Spanco Sdn Bhd (Spanco).

"Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya.

"Sebagai perdana menteri antara Mac 2020 hingga Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

"Jangan samakan kedudukan saya dengan perdana menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan.

"Saya tahu kedudukan saya," tambah Muhyiddin lagi.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat syarikat berkenaan yang diberikan kontrak untuk membekal serta menyelenggara kenderaan kerajaan sejak awal 1990-an.

Ia ditubuhkan pada 1988.

Syarikat itu diberikan konsesi selama 25 tahun - mulai 1 Jan 1994 - untuk mengatur, membekal dan memajakkan kenderaan kerajaan dengan peruntukan penyelenggaraan yang khas.

Memiliki kemudahan pusat penyelenggaraan Batu Caves dan Bangi dengan keluasan masing-masing lima dan dua ekar, Spanco turut menyediakan bantuan kecemasan 24 jam dan lebih 300 pusat perkhidmatan di seluruh Malaysia, selain memiliki 200 tenaga operasi dan kepakaran.

Konsesi yang diberikan itu - mulai 1 Jan 1994 - tamat pada 31 Dis 2018. PH yang menjadi kerajaan ketika kontrak tersebut berakhir membuat tender terbuka untuk membolehkan mana-mana syarikat membuat permohonan.

Konsesi yang ditawarkan ialah selama 15 tahun dan dilaporkan ada sekurang-kurangnya tujuh syarikat berminat.

Ketika itu Berjaya Group (Berjaya) membentuk konsortium dengan syarikat Naza Corp Holdings Sdn Bhd untuk bersama-sama membida kontrak yang ditawarkan.

Tak dapat dibuktikan

Bagaimanapun pada Julai tahun lalu syarikat terbabit menyaman kerajaan kerana mendakwa LOI yang dikeluarkan Putrajaya ditamatkan. Pengasas Berjaya, Vincent Tan, mendakwa LOI terbabit dibatalkan tiga bulan selepas Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Dr Mahathir.

Tan juga mendakwa kerajaan memberikan kembali kontrak tersebut kepada Spanco walaupun mengemukakan bidaan RM700 juta lebih tinggi berbanding konsortiumnya.

Pada 5 Feb lalu pula Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menganggap kontrak yang dianugerahkan kepada Spando sebagi merugikan negara dan berjanji untuk mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan ke atas syarikat berkenaan dan memanggil beberapa tokoh berprofil tinggi untuk membantu mereka.

Menurut Muhyiddin dia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit dalam sebarang salah laku terkait pemberian kontrak kerajaan kepada Spanco.

Kata ahli parlimen Pagoh itu, sehingga kini "tohmahan jahat" itu tersebar melalui media massa dan media sosial namun tanpa butiran yang lengkap untuk menunjukkan bagaimana dia terbabit, serta apakah salah laku yang didakwa.

"Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya," katanya.

Muhyiddin berkata dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan berkenaan dan berharap Mahkamah Rayuan akan memihak kepadanya apabila rayuan tersebut didengar pada 28 dan 29 Feb ini.

"Ini adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat oleh musuh politik saya yang bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS