Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NUJ: Kod etika wartawan cara k'jaan kawal media dari 'pintu belakang'

Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merupakan langkah 'pintu belakang' daripada kerajaan untuk mengawal industri media, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah, berkata tindakan yang patut diambil kerajaan bukanlah mengemukakan kod etika tersebut sebaliknya menubuhkan segera majlis media yang bebas.

"Kod etika baru ini hanyalah cara pintu belakang untuk kerajaan menentukan sendiri kredibiliti serta sumber sesuatu berita.

"Bagaimana kita boleh ada media yang bebas apabila kerajaan sendiri boleh memutuskan apa itu laporan berita yang dianggap beretika.

"Justeru berhentilah cuba mengawal selia kami dengan bersembunyi di sebalik kata-kata mahu 'memastikan etika dan profesionalisme'

"Tubuhkan segera Majlis Media Malaysia dan biarkan kami mengawal kami sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Farah Marshita berkata demikian selepas diminta mengulas Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan Fahmi pada 20 Feb lalu.

Ia digambarkan sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini oleh rakyat.

Kod Etika Wartawan Malaysia yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) itu menggarap lapan etika utama.

Antara lain ia menegaskan tanggungjawab wartawan menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti; dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain ialah sesuatu pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Ada kod etika sendiri

Mengulas mengenai majlis media, Fahmi berkata rang undang-undang mengenainya masih dalam peringkat draf dan dijangka dibentangkan di parlimen pada Jun ini.

Pada masa sama pertindihan kod etika kewartawanan itu nanti mendapat maklum balas negatif daripada kumpulan pelobi kebebasan media, Gerakan Media Merdeka (Geramm), Lawyers for Liberty (LFL), Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin dan bekas ahli parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.

Menurut Farah Marshita NUJ sebenarnya berharap kerajaan sedia mengkaji semula undang-undang sedia ada yang melibatkan media, bukan sebaliknya mengetatkan cengkaman mereka.

Katanya selama ini media sudah mempunyai etika kewartawanan untuk dijadikan rujukan sama ada oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) mahupun yang dikeluarkan oleh NUJ sendiri dan diiktiraf oleh badan luar seperti Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) sejak 1980-an.

"Selama ini, kerajaan ada kuasa untuk mengeluar dan membatalkan kad media tanpa menjelaskan kepada kami garis panduan mereka.

"Kerajaan juga mempunyai pelbagai saluran untuk mengenakan tindakan terhadap media.

"Adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengkaji undang-undang sedia ada yang menyekat hak dan kebebasan media daripada cuba untuk terus mengetatkan cengkaman ke atas media," katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching sebelum ini mengesahkan kod etika wartawan yang dilancarkan kerajaan adalah berbeza dengan kod etika yang dirangka oleh Majlis Media Malaysia.

Dia turut mengesahkan bahawa majlis media akan ada kod etika sendiri.

Sementara itu professor kajian media dan komunikasi Universiti Nottingham Malaysia, Zaharom Nain, berkata bahawa langkah kawalan Japen terhadap media adalah mengelirukan.

Jawapan tak memuaskan

Mengesahkan ada pihak dijemput bermesyuarat dengan kementerian komunikasi untuk membincangkan kod etika tersebut, Zaharom berkata, pertemuan itu menggambarkan kerajaan sudah mempunyai keputusan lebih awal.

"Seolah-olah kerajaan sudah pun ada kesimpulan sendiri sebelum menerima pandangan kami.

"Secara peribadi, saya tidak nampak apa-apa yang berbaloi untuk kewartawanan Malaysia melalui kawalan oleh kerajaan ini.

"Ia tidak mencerminkan sebarang (janji) dalam ceramah tentang reformasi dan kebebasan akhbar. Ia tak sihat langsung, dan saya percaya kami telah membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat itu namun tidak mendapat jawapan yang memuaskan," katanya.

Zaharom Nain

Zaharom juga menjelaskan pengenalan kod etika tersebut menggambarkan kerajaan tidak ada perancangan dan penyelarasan yang betul sehingga kelihatan seperti tangan kira tidak tahu apa yang dilakukan tangan kanan.

Katanya apabila akta mengenai Majlis Media Malaysia diwujudkan, kawalan luaran melalui Japen itu akan jadi bertentangan dengan proses kawal selia sendiri badan berkenaan dan ia perlu diketepikan.

"Kawalan sedemikian untuk menutup mulut media dan pengkritik terhadap rejim tak demokrastik telah dikenakan berkali-kali sebelum ini

"Selalunya kerajaan kita - terutamanya BN sebelum ini - yang mengamalkan penapisan serta kawalan yang tak untuk kepentingan mereka, dan bukannya demi kepentingan rakyat.

"Tanda-tanda sebegitu juga tidak begitu bagus untuk kerajaan perpaduan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS