Dakwaan bahawa Malaysia dan Israel sedang mempertimbangkan perjanjian membenarkan perjalanan tanpa visa antara warganegara kedua-dua negara adalah tidak benar.
Malah, Malaysia terus tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, manakala pasport Malaysia tidak boleh digunakan untuk perjalanan ke Israel kecuali untuk kes tertentu menunaikan ibadah keagaman.
Spekulasi liar itu disebarkan melalui akaun X Kopitiam Malaya, berdasarkan hantaran di X oleh Ahli Parlimen Israel Danny Danon pada bulan September lalu.
Ketika itu, Danon telah menyiarkan gambar Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada mesyuarat Perhimpunan Agung PBB (Unga) dan secara sinis berkata diia "gembira" melihat Saifuddin mendengar ucapan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Dalam catatan dalam bahasa Ibrani itu, dia secara sinis berkata bahawa mungkin ini bermakna destinasi pelancongan tanpa visa seterusnya bagi warga Israel adalah Malaysia.
Malaysia menjadi sasaran bidasan oleh ahli politik Israel dan pempengaruh media sosial, susulan pendirian lantang negara yang pro-Palestin.
Pada perhimpunan yang sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapannya mempertahankan seruan untuk sebuah negara Palestin.
Malah, Saifuddin dalam hantaran di media sosial, berkata, gambar yang disiarkan adalah ketika dirinya sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia sedang mendengar ucapan Anwar.
Danon membuat hantara itu pada 22 September, iaitu hari yang sama Anwar dan Netanyahu memberikan ucapan mereka.
Menjawab hantaran yang dibuat Kopitiam Malaya, Saifuddin berkata akaun itu jelas bertujuan "mencipta naratif jabat dan fitnah" ke atasnya dan kerajaan.
"Israel, jangan perasan. Sewaktu ucapan di Unga, perdana menteri Malaysia jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel di hadapan semua," katanya di X.
Siapa Kopitiam Malaya?
Akaun X Kopitiam Malaya diwujudkan pada Disember 2023. Namun hantaran pertama hanya dibuatnya pada 15 Februari, bagi menjawab dakwaan terhadap NGO Aman Palestin.
Pada hari itu, pemimpin Aman Palestin dihadapkan dengan 161 pertuduhan pecah amanah jenayah, penipuan dan pengubahan wang haram melibatkan RM40 juta.
Mereka adalah CEO AMan Palestin, Awang Suffian Awang Piut dan pengarah eksekutifnya, Abdullah Zaik Abdul Rahman.
Abdullah juga bekas presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Tidak jelas jika Kopitiam Malaya ada hubungan langsung dengan Aman Palestin dan Isma, namun hantaran yang dibuatnya sejak 15 Februari menunjukkan akaun itu konsisten mempertahankan Aman Palestin dan mengongsikan kandungan yang diterbitkan atau berkaitan dengan TV Pertiwi milik Isma.
TV Pertiwi beroperasi di bangunan yang sama dengan Isma manakala pengerusinya, Norzila Baharin pernah menjadi ketua sayap wanita pertubuhan itu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyekat laman TV Pertiwi, tidak lama selepas menggantung akaun TikToknya atas kesalahan menyebarkan maklumat salah.
Malaysiakini adalah sebahagian daripada pasukan pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.
Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip di 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.