Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nilai ringgit yang rendah tidak jejaskan keyakinan pelabur - Anwar

Situasi ekonomi negara hari ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada 1998 kerana kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik meskipun nilai ringgit merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, berkata ketika pada 1998, selain kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran adalah tinggi manakala tiada pelaburan asing masuk dalam negara.

"(Berbeza) ketika ini, ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.

"(Malah) pertumbuhan (ekonomi negara) adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran,” katanya kepada media selepas merasmikan Menara Exchange 106, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sambil mengakui kejatuhan ringgit adalah membimbangkan, namun kata perdana menteri, ia tidak menjejaskan keyakinan pelabur.

Ini memandangkan Malaysia baru-baru ini menerima  jumlah pelaburan yang diluluskan tertinggi dalam sejarah negara. Namun, katanya, kerajaan tidak mengambil mudah atau tidak mengendahkan kejatuhan itu, dan usaha harian sedang dijalankan untuk meredakan keadaan itu.

“Kalau keyakinan (pelabur) itu kurang kerana ringgit, dia tidak akan ada pelaburan seperti ini,” katanya yang juga adalah menteri kewangan.

Semalam, Anwar mengumumkan  Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022.

Daripada jumlah pelaburan tersebut, katanya, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik 42.8 peratus.

Selasa lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour berkata bahawa paras ringgit pada masa ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Katanya,  prestasi ringgit baru-baru ini sama seperti mata wang serantau lain, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.

Setakat jam 12.15 tengah hari ini, ringgit diniagakan pada 4.775 berbanding dolar AS, menurut laman web BNM.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Madani tidak memandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Ketika menegaskan pendirian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga meminta semua pihak agar tidak membandingkan perkembangan semasa dengan keadaan pada 1998 yang tidak hanya menyaksikan penyusutan nilai ringgit, tetapi turut terjejas dari segi pelaburan dan inflasi.

“(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan, namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran.

“Sehubungan itu, bagi saya, kita perlu melihatnya dari perspektif secara menyeluruh dan keupayaan negara untuk mencatat pertumbuhan. Apa yang paling utama bagi saya adalah memastikan angka-angka pelaburan ini. 

“Mereka sering membandingkan dengan keadaan pada 1998 tetapi (perlu diingat) pada tahun itu ringgit merosot, inflasi meningkat, pengangguran tinggi dan tiada pelaburan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas sama ada prestasi ringgit menjejaskan keyakinan terhadap negara, Perdana Menteri berkata sekiranya benar, Malaysia tidak mungkin berupaya mencapai angka pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu RM329.5 bilion pada tahun lepas -- peningkatan sebanyak 23.0 peratus berbanding 2022.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan turut memberi tumpuan dalam usaha membuat keputusan atau melaksanakan langkah wajar yang perlu diambil setiap hari.

"Kita akan terus memantau keadaan setiap hari, termasuk soal kos sara hidup dan kesannya terhadap kehidupan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS