Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muara Sg Ular cetek: JPS tunggu peruntukan kecemasan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan segera bagi mendalamkan muara Sungai Ular, dekat Kuantan.

Perkara itu dimaklumkan jurutera kanan daerah Kuantan, Md Azhar Noordin, ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya, isu muara sungai cetek yang berlaku di perkampungan nelayan Sungai Ular itu memang dalam perhatian pihak JPS Pahang.

"Kebanyakan muara sungai di Pahang turut berdepan situasi sama setiap kali Monsun Timur Laut berlaku. Ia turut berlaku di Balok dan Cherating.

"Cuma di Sungai Ular ini ada aktiviti pengambilan pasir yang mengikut dakwaan penduduk menjadi punca utama muara sungai di situ cetek.

"JPS Pahang sudah menghantar pasukan ke sana dua hari lalu untuk melakukan pemantauan, mengambil gambar dan melihat perkara yang boleh dibuat bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya.

Md Azhar juga memaklumkan ketika pasukan JPS Pahang melakukan pemeriksaan di kawasan itu, tiada aktiviti pengambilan pasir dijalankan.

Bagaimanapun katanya pihak JPS Pahang sudah memaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan mengenai dakwaan dibuat penduduk.

"Kami juga ada menghantar surat kepada pejabat tanah untuk mengetahui status kerja pengambilan pasir di kawasan itu.

"Buat masa ini kami belum menerima jawapan lagi dan ia bukan di bawah bidang kuasa JPS," katanya lagi.

Md Azhar memaklumkan JPS Pahang sudah mengemukakan permohonan kepada ibu pejabat untuk mendapatkan peruntukan segera bagi kerja mendalamkan muara sungai di kampung Sungai Ular.

Katanya, dianggarkan RM100,000 diperlukan bagi kerja berkenaan dan ia hanya boleh dimulakan sebaik sahaja peruntukan diluluskan.

"Kalau boleh kita nak buat secepat mungkin, tapi kami perlu menunggu peruntukan kecemasan itu diluluskan terlebih dahulu.

"Sekarang pun kita masih dalam fasa akhir Monsun Timur Laut dan kita harap permohonan (peruntukan) itu diluluskan bulan depan.

"Sebaik sahaja ia diluluskan, kami akan mulakan kerja mendalamkan muara sungai di kampung itu," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS