Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Nik Elin: Hadi cuba heret raja, pakar berbeza pendapat

Keputusan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membatalkan 16 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan baru-baru ini mengundang pelbagai pandangan dan kritikan.

Salah satunya adalah daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sendiri.

Dalam kenyataan pemimpin nombor satu parti Islam itu memberi peringatan kepada umat Islam agar menjaga akidah masing-masing susulan keputusan berkenaan.

Malah ahli Parlimen Marang itu juga mengingatkan Raja-Raja Melayu agar tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.

Malaysiakini mendapatkan ulasan penganalisis politik merangkap pengamal undang-undang, Shamsuddin Nawawi dan pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Malaysiakini: Apa yang membuatkan Abdul Hadi membuat kenyataan dengan mengaitkan raja-raja mahu pun istana?

Shamsuddin Nawawi: Saya berpandangan dia (Abdul Hadi) tidak faham perlembagaan Persekutuan. Tidak faham apa yang dibawa ke mahkamah dan apa yang diputuskan oleh mahkamah.

Dia sebenarnya tak faham bahawa undang-undang yang dibuat itu, yang dicabar oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ialah satu undang-undang takzir.

Undang-undang takzir ini ialah undang-undang yang dibuat oleh manusia, bukan Allah SWT. Jadi, jelas itu ialah undang-undang yang dibuat oleh pemerintah ulul amri melalui Dewan Undangan Negeri (DUN).

Raja-raja tak boleh masuk campur dalam hal politik. Jadi, pada pandangan saya dia (Abdul Hadi) dah tersilap sebab dia nak menarik raja-raja untuk menyelesaikan masalah yang dilakukan oleh orang-orang politik.

Pada saya itu tidak betul, itu satu kesilapan besar sebab undang-undang dibuat oleh orang politik yang menjadi wakil rakyat, yang menjadi Adun.

Kemudian mereka nak minta tolong pula daripada raja-raja untuk menyelesaikan masalah yang dibuat oleh orang politik, itu satu penghinaan kepada raja.

Nik Ahmad Kamal: Saya rasa Tan Sri cuba memberi satu bentuk peringatan bahawa Islam itu di tangan raja-raja dan raja-raja perlu memberi reaksi yang sesuai dalam isu ini.

Kita telah melihat dengan jelas bahawa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah mengambil tindakan yang cepat dengan menubuhkan jawatankuasa yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

Jawatankuasa ini ditubuhkan oleh MKI dan diangkat kepada Majlis Raja-raja.

Jadi, maknanya MKI di mana semua raja-raja Melayu berada di situ telah dengan segera mengambil tindakan dan selepas kes Nik Elin ini, isu ini sebenarnya telah ditangani oleh jawatankuasa yang ditubuhkan MKI.

Maknanya jawatankuasa tersebut akan melihat secara keseluruhan selepas kes Iki Putra dan termasuk juga kes Nik Elin.

Saya rasa ini tindakan yang wajar oleh Majlis Raja-raja yang melalui MKI telah melakukan sesuatu yang penting dan saya rasa kita tidak boleh kritik apa-apa sebab Majlis Raja-raja telah mengambil tindakan yang sesuai.

Kenyataan Tan Sri (Abdul Hadi) yang memetik raja-raja atau istana itu boleh dikatakan (kerana) kebimbangannya dan pihak raja-raja saja boleh menyelesaikan isu ini.

Sebab agama Islam itu di tangan raja-raja di negeri-negeri dan mereka yang mempunyai kuasa yang besar menentukan apakah hala tuju sebenarnya undang-undang di Malaysia.

Tetapi (raja-raja perlu) bertindak dalam kerangka Perlembagaan yang dibenarkan dan itu saya rasa jelas.

Kenyataan Sultan Selangor juga jelas tentang perkara itu.

Malaysiakini: Keperluan campur tangan raja-raja?

Nik Ahmad Kamal : Sudah tentu, sebab siapa lagi yang akan campur tangan kalau tidak Majlis Raja-raja. Sebagai pendukung Islam di negeri-negeri dan juga pendukung Islam di peringkat persekutuan di bawah Yang Di-Pertuan Agong. Agong adalah sebahagian Majlis Raja-raja.

Jadi, kalau isu ini isu persekutuan maka Yang di-Pertuan Agong juga perlu bersama-sama dengan Majlis Raja-raja, sedangkan ini isu keseluruhan negeri-negeri di Malaysia dan Agong juga adalah ketua bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

Maknanya kesemua mereka di dalam Majlis Raja-raja termasuk Agong mempunyai peranan yang besar dalam memastikan Islam ini dijaga.

Malaysiakini: Sikap sebenar Abdul Hadi kepada Perlembagaan kerana pernah menganggap ia warisan penjajah?

Shamsuddin Nawawi: Perlembagaan warisan penjajah, itu kita tak dapat lari kerana itu sejarah.

Sekarang ini, kalau nak ubah warisan penjajah kita pindalah perlembagaan itu. Kalau kita nak pinda perlembagaan berkaitan raja-raja memang perlukan perkenan raja-raja

Tetapi, sekarang ini kita tak perlukan perkenan raja-raja untuk pinda perlembagaan berkaitan Jadual Kesembilan.

Sekarang yang jadi masalah ialah apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan bahawa negeri telah tidak melakukan undang-undang itu mengikut kuasa yang diberikan kepada mereka.

Itu sahaja, bukan perkara berkaitan agama atau sebaliknya.

Nik Ahmad Kamal: Kita tidak boleh nafikan bahawa siapa yang draf perlembagaan itu majoritinya adalah orang luar dan semangat perlembagaan itu kebanyakannya diambil daripada semangat perlembagaan negara-negara lain yang telah merdeka sebelum ini dan semangat westminister yang kita pakai.

Jadi, dalam konteks ini saya rasa Tan Sri Hadi memang mempunyai satu persepsi dalam perlembagaan sejak dulu lagi dan kita tidak boleh menafikan siapa pun bebas untuk membuat persepsi sendiri.

Tapi pada masa yang sama itulah perlembagaan yang telah meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi, sebagai agama persekutuan.

Tidak ada negara-negara komanwel yang merdeka dalam tahun 50-an dan 60-an mempunyai peruntukan sebegitu dengan meletakkan agama sebagai agama persekutuan atau pun agama negara mereka. India pun tak ada.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS