Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumah buat penyambungan haram lombong Bitcoin diserbu

Sebuah rumah teres dua tingkat di Hijauan Hills dekat Valdor Simpang Ampat di Nibong Tebal, diserbu Suruhanjaya Tenaga (ST) kerana disyaki membuat penyambungan elektrik secara haram bagi menjalankan perlombongan bitcoin.

Pengarah Kawasan ST Pulau Pinang, Kedah dan Perlis Muhamad Azmi Ishak berkata kegiatan yang menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian kira-kira RM22,000 sebulan itu dikesan hasil risikan sejak dua bulan lepas.

Beliau berkata sembilan buah mesin turut ditemukan di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah yang dijadikan pusat pengoperasian.

“Sebelum ini biasanya operasi bitcoin ini dijalankan di premis-premis, tetapi kini sindiket telah menukar modus operandi ke rumah pula bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka ini bijak kerana jika dilihat rumah ini seolah-olah seperti berpenghuni kerana ada kasut budak jadi bukan saja jiran, malah pekerja TNB yang datang baca meter pun tak perasan ia sebenarnya digunakan untuk operasi bitcoin.

“Tambahan, kita tak dengar bunyi bising mesin sebab bilik tersebut dibina supaya kedap bunyi,” katanya kepada pemberita selepas operasi di Nibong Tebal hari ini.

Muhamad Azmi berkata tindakan sindiket membuat penyambungan itu membahayakan penduduk yang tinggal berhampiran kerana penggunaan tenaga elektrik yang tinggi boleh menyebabkan litar pintas dan kebakaran, apatah lagi mesin tersebut beroperasi 24 jam tanpa henti.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk terutama di kawasan taman perumahan membuat laporan sekiranya terlihat sebarang aktiviti mencurigakan bagi membolehkan siasatan dijalankan dan mencegah lebih banyak kes sedemikian berlaku.

Dalam pada itu, sebuah premis perniagaan yang terletak berhampiran kawasan perumahan tersebut turut diserbu dalam operasi bermula 10 pagi tadi membabitkan 20 kakitangan ST dan TNB.

Menurut Muhamad Azmi, kedua-dua sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek terlibat.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS