Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan tak faham peranan Majlis Media, tegur Sivarasa
Diterbitkan:  Feb 22, 2024 11:50 AM
Dikemaskini: 4:08 AM
  • Dikemas kini dengan berita penuh.


Pertindihan dua kod etika kewartawanan tidak mencerminkan pemahaman kerajaan yang jelas terhadap peranan Majlis Media, kata bekas timbalan menteri PKR.

Sivarasa Rasiah berkata tidak sepatutnya ada dua kod berbeza antara yang dikeluarkan kerajaan dan Majlis Media.

“Hanya satu (diperlukan) yang secara logiknya tentulah oleh Majlis Media,” kata bekas anggota parlimen tiga penggal itu.

Sivarasa berkata demikian sebagai mengulas pengenalan kod etika itu kelmarin yang menjadi punca kuasa kerajaan membatalkan kad perakuan media pihak yang melanggarnya.

Kod yang dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil itu dikemas kini daripada versi 1989 yang diperkenalkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI), NGO yang terkenal dengan penganjuran hadiah kewartawanannya.

Setakat ini, ia mendapat maklum balas negatif daripada kumpulan pelobi kebebasan media Gerakan Media Merdeka (Geramm), kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) serta wartawan veteran A Kadir Jasin.

Geramm antaranya berkata media harus bebas dari campur tangan kerajaan supaya dapat berfungsi sebagai pemantau kepada kekuasaan serta menyediakan rakyat dengan pelbagai sudut pandang.

Sementara itu, menulis di media sosial, Sivarasa berkata kod itu sepatutnya disusun oleh Majlis Media sebagai badan bebas. 

Dia yang juga seorang peguam justeru menggesa kerajaan mempercepatkan penubuhan Majlis Media.

Fahmi semalam berkata draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media akan dibentangkan di sidang Parlimen pada Jun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS