Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selain Melaka, PAS yakin dapat kuasai negeri lain pada PRU16

PAS yakin parti itu akan dapat menambah lagi bilangan negeri yang akan dikuasai mereka termasuk Melaka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata, ini berdasarkan sokongan yang ditunjukkan rakyat ketika ini.

Tegasnya, sokongan orang Melayu kepada PAS masih utuh selain sokongan pengundi Cina juga semakin meningkat.

"Kalau kita lihat perkembangan hari ini, kita dapati sokongan terhadap PAS bukan menurun, tak seperti parti lain. Ahli semakin bertambah, ahli baru sentiasa ada setiap bulan.

"Suasana ketenangan yang wujud dalam parti, kestabilan parti menambah lagi minat ahli baru dan kalau kita boleh pertahankan keadaan ini tidak mustahil apa yang dihasratkan pimpinan PAS di Melaka (tercapai),” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, PAS Melaka melahirkan keyakinan untuk mentadbir negeri itu selepas PRU akan datang jika ahli parti terbabit mengambil pendekatan tertentu.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail berkata, ketika ini terdapat lebih 23,000 orang ahli yang boleh digerakkan bagi menarik sokongan ramai.

Mengulas lanjut Hashim berkata PRU15 lalu turut menyaksikan kejutan apabila PAS turut mendapat sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan bandar.

"Banyak petunjuk PRU menunjukkan pertambahan sokongan pengundi bukan Melayu meningkat dari masa ke masa.

"Sebagai contoh kita tak pernah terfikir Alor Setar boleh (jatuh) kepada PAS. Rakyat sedang menilai tentang kestabilan politik bagi sebuah parti dalam suasana sekarang," katanya lagi.

Pada PRU lalu, PAS memenangi 43 kerusi parlimen dan menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menerusi Perikatan Nasional (PN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS