Paling Popular
Terkini

Sudah terlalu banyak bom jangka yang dicipta Abdul Hadi Awang sudah meletup. Minda Presiden PAS sudah jadi tempat menghisab dan memadankan dalil-dalil mulia untuk mengeji seteru politik sebagai acara mingguan. Letupan 3R kali ini bukan sahaja mengeruh integriti institusi kehakiman dan majlis raja-raja, malah seruan ini memperalatkan agama sebagai medium asing dari Perlembagaan Persekutuan.

Seruan mencabar Perlembagaan Persekutuan ini tidak terhad kepada ego presiden PAS merendahkan diri di sebalik ayat suci al-Quran dalam bicara keadilan dalam Islam. Keadilan sebenarnya tidak boleh ditafsir sehala dari lensa dan kedudukan pihak-pihak yang terlibat. Mereka mempunyai konflik, kepentingan dan kemahuan masing-masing. Mahkamah tidak akan pernah boleh memuaskan hati semua pihak. Sebab itu kita sering sahaja melihat, mereka yang sebelum ini memuji ketegasan mahkamah hari ini menghamun institusi tersebut. Begitulah sebaliknya. 

Kejumudan ini memaksa pengasingan agama dengan sistem perundangan. Akhirnya ia sekali lagi mengembalikan persoalan masyarakat kepada stereotaip ekstremisme agama yang dibawa aliran Hadi – bagi presiden PAS, solusi kesempurnaan Islam versi PAS adalah jawapan kepada semua persoalan tanpa mengambil kira fikrah penubuhan negara, jauh sekali demografi. Apalah sangat kontrak sosial dan kestabilan negara bagi mereka? Begitu jelas pelanggaran yang dilakukan dalam perang saraf Hadi hanya untuk mereka berkuasa.

Ketika demokrasi tidak berpihak kepada PAS, begitu lantang Tuan Guru menjenamakan Perlembagaan Persekutuan sebagai muslihat yang diterima Tanah Melayu demi kemerdekaan. Ironinya, perlembagaan ini tidak pula menipu umat Islam ketika komrad mereka memegang kuasa. Tabiat gopoh memberi ulasan keras sebegini adalah satu ketagihan yang memakan diri.

Tidak menghairankan api ini sengaja dimarakkan susulan ahli parlimen Marang menyindir keputusan Mahkamah Persekutuan apabila panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 16 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan. Malah secara terbuka juga beliau mempertikai titah Sultan Selangor dengan alasan sekadar memberi peringatan kepada umat Islam untuk mempertahankan akidah.

Dakwaan berkaitan konflik kepentingan tersebut tidak lebih daripada sekadar percubaan mewujudkan prejudis dan persepsi ke atas hakim yang berwibawa. Lalu keluarlah segala macam maksim undang-undang seperti justice delayed is justice denied. Dan dibalas pula dengan justice hurried is justice buried.

Biar di pihak mana pun kita, kesemua ini menunjukkan bahawa isu undang-undang bukanlah isu yang pegun dan mudah. Angkubah dan perkiraan yang diteliti adalah pelbagai. Peruntukan dan asas undang-undang harus jelas. Bukti dan fakta mesti tidak meragukan. Sentimen dan perkara-perkara yang tidak sepatutnya tidak boleh diheret masuk sama sekali.

Persoalan perundangan

Persoalan perundangan yang diajukan adalah jelas; berkaitan bidang kuasa dewan undangan negeri dalam menggubal undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Persoalan tersebut telah dijawab dengan jelas dan tuntas. Tidak sedikit pun menghakis keimanan dan keyakinan muslim yang waras terhadap usaha memartabatkan institusi  mahkamah syariah. Namun ‘ancaman’ yang dipamerkan jelas menunjukkan sikap hipokrasi segelintir kelompok pimpinan yang cuba mencipta cerita dongeng. Persoalannya, apakah enakmen syariah di Kelantan lebih suci berbanding di negeri Selangor seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2021? Di mana jeritan dan lolongan “pertahankan syariah” pada ketika itu?

Kegelojohan mengulas presiden PAS ini bukanlah dari kegagalan untuk memahami sistem berpaksi Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya ia adalah akibat apabila agama tidak menjadi had dan batas yang menentukan perkara yang boleh menjadi senjata politik. Sekali pun kesucian agama tidak sedikit pun ternoda dan terkurang dengan olokan dan momokan manusia, tidak wajar untuk menjadikan agama sebagai bahan kesempatan mengikut selera.

Malah perjuangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah Syariah) RUU355 sendiri pun pernah sengaja ditangguh berkali-kali saban tahun ketika mereka berkuasa. Ketika itu, di manakah kewajipan merungkai dan merombak semula ikatan penjajah yang dipersoalkan beliau? 

Berkenaan Pemerkasaan Mahkamah Syariah pada peringkat persekutuan sahaja pula, PAS sudah mempunyai lima kenyataan berbeza termasuk yang terkini apabila Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyatakan pendirian sokongan kepada inisiatif Kerajaan Perpaduan, tiba-tiba, Hadi Awang pula berhasrat bahawa landasan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diterima pakai dan perlu dirombak. 

Eloklah wang yang diterima 43 ahli parlimen PAS sebagai elaun di Dewan Rakyat ini dikembalikan kepada negara atas status syubhah Perlembagaan Persekutuan ‘Kafir’ yang menipu umat Islam, bahkan mencegah Islam dari berkuasa.

Allah memberikan amaran yang keras terhadap Ahli Kitab yang mencipta hukum dan menggunakan jenama hukum Allah SWT. Kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. 

Memang benar keluhuran agama mengatasi apa jua urusan dunia bahkan kepada sebarang halangan kepada hamba-hamba-Nya untuk terus bertakwa kepada Allah SWT. Benar juga bahawa peringatan untuk mempertahankan akidah adalah tanggungjawab ke atas seorang Muslim kepada Muslim yang lainnya tanpa mengira jenis darah marhaen atau diraja. Tetapi apakah asas kenegaraan kita selepas permusuhan kepada perlembagaan ini diwujudkan? 

Ketika sempurnanya Islam sebagai sebuah agama, apakah tarikh ini menjanjikan sekelip mata kemakmuran masyarakat majmuk bawah Perlembagaan Baru Hadi Awang atau sekadar retorik yang disahut penganut agama PAS untuk mempertikai status keislaman Muslim yang lainnya?


KAMIL MUNIM ialah setiausaha politik kepada menteri  kewangan merangkap timbalan ketua Pemuda PKR (AMK).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS