Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemergian Taib: Sarawak berkabung dua hari
Diterbitkan:  Feb 21, 2024 10:33 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Kerajaan Sarawak mengisytiharkan berkabung selama dua hari bermula hari ini sebagai menghormati pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Kerajaan Sarawak dalam kenyataan rasmi memaklumkan bendera di seluruh Sarawak juga akan dikibarkan separuh tiang dan sebarang acara hiburan ditangguhkan.

“Masjid dan rumah ibadat adalah digalakkan untuk mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Tun Abdul Taib,” menurut kenyataan itu.

Jenazah Abdul Taib dijangka tiba dari Kuala Lumpur petang ini dan akan terus dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, di Kuching.



“Jenazah akan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) esok dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir bermula 8 pagi hingga 11.30 pagi.

“Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya,” menurut kenyataan itu.

Abdul Taib Mahmud, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur awal pagi ini.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak, apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS