Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Empat wanita dan dua lelaki dikhuatiri sesat ketika mendaki Gunung Angsi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti, Norhirwan Zainal, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 7.31 malam tadi yang memaklumkan mengenai kejadian sekumpulan pendaki sesat di gunung tersebut.

“Maklumat awal mendapati kesemua mangsa masih belum pulang ke rumah menyebabkan pengadu memohon bantuan daripada pihak bomba untuk mencari mangsa.

“Bertindak atas maklumat, enam anggota BBP Seri Menanti bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT (fire rescue tender) sejurus menerima panggilan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Menurut Norhirwan hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat dua kenderaan di kaki Gunung Angsi yang disyaki milik mangsa.

Katanya pasukan bomba tiba di pondok checkpoint bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Yusry Abdullah Sani ketika dihubungi berkata mangsa berusia antara 28 hingga 42 tahun didapati mendaftar di pondok pejabat hutan sebelum memulakan pendakian.

Menurutnya semua pendaki yang dipercayai dari Selangor masih belum mendaftar keluar dari gunung berkenaan.

Ekoran itu, katanya, pasukan penyelamat yang turut dibantu polis mencari mangsa hingga ke puncak namun tidak terdapat sebarang jejak mangsa.

“Pencarian akan diteruskan malam ini dengan pecahan ke tiga lokasi yang dijangka mangsa akan turun iaitu di Ulu Bendul, Kampung Jkin di Kuala Pilah dan Taman Tuanku Ja’afar di Seremban," katanya.

Difahamkan, sehingga kini kesemua mangsa tidak dapat dihubungi melalui talian telefon.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS