Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil akan terus beroperasi secara sah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan dua NGO untuk kebenaran memfailkan rayuan untuk membatalkan keabsahan sekolah itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Mary Lim Thiam Suan dalam keputusan 2-1, menolak permohonan yang difailkan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena).

Terdahulu, permohonan mereka telah ditolak di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada 29 Disember 2021, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali - kini hakim di Mahkamah Rayuan - memutuskan yang kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan Bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah itu dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ketika prosiding hari ini, Lim dan seorang lagi hakim, Rhodzariah Bujang menolak permohonan itu manakala hakim Abdul Karim Abdul Jalil membuat penghakiman ingkar.

"Bagi keputusan majoriti, kami tidak berpuas hati yang kami perlu menggunakan budi bicara untuk membenarkan persoalan undang-undang (questions of law) yang dipinda (bagi permohonan kebenaran Mappim dan Gapena) menurut Seksyen 96(b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964," kata Lim.

Seksyen itu menyatakan Mahkamah Persekutuan boleh memberi kebenaran untuk merayu jika ada keperluan untuk mendapatkan jawapan bagi isu berkaitan, jika ia melibatkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Mappim dan Gapena.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin pula mewakili menteri pendidikan dan kerajaan persekutuan sebagai responden pertama dan kedua.

Turut menjadi responden antaranya ialah MIC; MCA; kumpulan pendidikan bahasa Cina, Jiau Zong dan Dong Zong; Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa; Persatuan Thamizar Malaysia; Persatuan Tamilar Thirunal Perak; Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil Malaysia; Majlis Bahasa Cina Malaysia dan Persatuan Tamil Neri Malaysia.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS