Paling Popular
Terkini
  • Dikemas kini dengan berita penuh.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) berhak membatalkan kad perakuan media.

"Ya, (Japen) berhak batalkan kerana mereka merupakan badan yang mengeluarkan kad perakuan media,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kod etika wartawan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini.

Fahmi mengulas pertanyaan sama ada tindakan tersebut boleh dibuat bawah kod etika wartawan itu.

Sementara itu, Fahmi berkata Japen akan meneliti aduan serta isu yang melibatkan pematuhan etika kewartawanan.

Katanya kod etika itu menjadi garis panduan untuk memberi ataupun menarik balik kad perakuan media daripada wartawan dan pengamal media.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan menambah baik kod etika wartawan yang dibuat pada tahun 1989 dengan mengambil kira konteks kewujudan media sosial dan perubahan-perubahan lain.

"Tapi itu bukan the be all and end all (segala-galanya). 

“Itu bukan matlamatnya, matlamatnya adalah supaya maklumat yang disampaikan kepada umum menggunakan asas-asas dan prinsip kewartawanan yang beretika," kata Fahmi.

Kod etika wartawan yang dilancarkan hari ini mengandungi lapan etika utama selain kod berkenaan turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan kad perakuan media.

Kod etika pada tahun 1989 itu diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Menurut Fahmi, versi terbaru ini dirangka setelah sesi libat urus dengan MPI dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia serta wakil jawatankuasa penaja Majlis Media.

"Ia adalah satu dokumen yang dibangunkan bersama antara pihak kerajaan, organisasi yang mewakili rakan-rakan media dan juga wakil-wakil media serta ahli akademik.

"Ini satu usaha baik yang mengumpulkan pandangan, tenaga, dapatan dan cadangan daripada pelbagai pihak demi satu kelestarian kemampanan bidang kewartawanan dan tahap etika.

"Kod etika kewartawanan yang dilancarkan hari ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membentuk budaya yang lebih prihatin bukan saja kepada kebenaran tapi bersikap adil pada wartawan," katanya.

Seliaan oleh Majlis Media

Sementara itu, Fahmi berkata penyeliaan terhadap aspek pematuhan kod itu akan dilakukan oleh Majlis Media yang akan ditubuhkan.

"Niatnya adalah supaya majlis media menjadi badan yang akan meneliti aspek-aspek sekiranya perlu diambil apa-apa tindakan di kalangan para wartawan ataupun organisasi media.

"Harapan saya dan kerajaan agar majlis media boleh memainkan peranan terutama bagi memastikan tahap kewartawanan berada pada tahap yang tinggi," katanya lagi.

Perluas pada pempengaruh, penulis blog

Sementara itu, Fahmi juga menolak dakwaan kod itu akan mengekang kebebasan media 

"Tidak. Kita hanya menambah baik beberapa perkara," katanya.

Sementara itu, Fahmi juga berkata pihaknya akan meneliti keperluan untuk memperluas penggunaan kod itu kepada “separa wartawan” seperti pengendali forum atas talian, penulis blog atau pempengaruh yang turut membuat liputan berita.

"Ia penting supaya landskap media secara keseluruhan di Malaysia dapat dijadikan kalis berita palsu atau fitnah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS