Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes murid saman cikgu ‘ponteng’: Takut jadi budaya sekolah - saksi

Rasa takut menyuarakan isu atau masalah didakwa menjadi budaya di kalangan guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi Kota Belud.

Demikian jelas Nurhaizah Ejab, saksi plaintif ke-15 dalam kes saman bekas murid sekolah itu, Siti Nafirah Siman, terhadap Mohd Jainal Jamran atas tuduhan ponteng kelas pada tahun 2015.

"Inilah budaya penindasan di sekolah yang dicipta dengan cara menanamkan rasa takut untuk menyuarakan isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh guru-guru dan murid-murid SMK Taun Gusi", jelas Nurhaizah Ejab di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Sabah hari ini.

Saksi yang juga guru di sekolah sama turut mendakwa pengetua SMK Taun Gusi juga seorang yang bersifat manipulatif.

"Pengetua tahu, sedar tentang tanggungjawabnya tetapi inilah karakter pengetua yang ditakuti iaitu dia seorang yang manipulatif yang boleh putar belit satu isu sehingga masalah ini dibalikkan kepada saya untuk diselesaikan," jelas Nurhaizah.

Siti Nafirah Siman

"Sifat pengetua yang sangat manipulatif ini boleh membuat guru-guru rasa paling bodoh, paling tidak berguna, paling tidak pandai mengurus. 

“Ini berlaku kepada guru-guru seperti Cikgu Maria, Hasanah, Fadlina, Norhana, yang menangis apabila dipersalahkan", jelasnya selepas disoal peguam plaintif Shireen Sikayun.

Tambahnya, pengetua turut mengambingkanhitamkan dirinya dengan meletakkan segala kesalahan kepadanya.

Perkara itu dilakukan dengan mendakwa dia tidak dimaklumkan lebih awal mengenai isu guru tidak hadir ke kelas dalam satu mesyuarat bersama pejabat pendidikan daerah.

Selain itu saksi turut mendakwa dipermalukan oleh pengetua di depan semua guru dengan menyifatkannta sebagai “ketua panitia yang gagal” meskipun mendapat anugerah cemerlang pada tahun 2014.

Siti Nafirah selaku plaintif diwakili peguam Shireen Sikayun manakala guru yang disaman itu diwakili peguam persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.

Perbicaraan kes guru ponteng di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berlangsung di hadapan Hakim Ismail Brahim akan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS