Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Na'imah semak perintah tahan pasport didengar 13 Mac

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 13 Mac depan untuk mendengar permohonan isteri bekas Daim Zainuddin, Na'imah Abdul Khalid, bagi menyemak perintah mahkamah sesyen yang menahan pasportnya selepas didakwa gagal mengisytiharkan harta.

Hakim Ahmad Bache membuat keputusan itu pada prosiding pengurusan kes berkenaan hari ini.

Ahmad turut memerintahkan agar pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 4 Mac, dan hujahan balas pada 11 Mac.

Katanya kedua-dua pihak akan berhujah secara lisan pada 13 Mac dan dia mungkin membuat keputusan pada hari yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Mohd Fadhly Mohd Zamry mengesahkan mereka telah menerima dokumen permohonan semakan Na’imah, yang diserahkan melalui peguam Rajesh Nagarajan hari ini.

Berdasarkan dokumen yang difailkan menerusi Tetuan Raj & Sach minggu lepas, Na'imah mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan oleh timbalan pendakwa raya untuk menahan pasportnya.

Katanya adalah tidak wajar ia dibenarkan hanya disebabkan rutin atas permintaan pendakwaan.

"Pada hari saya dituduh, tiada sebab atau asas diberikan oleh timbalan pendakwa raya bagi penahanan pasport dan walaupun peguam saya telah memberikan alasan untuk membantah, mahkamah masih memerintahkan supaya pasport saya ditahan sebagai syarat jaminan.

“Perintah tersebut adalah tidak seimbang dan telah menyebabkan suatu ketidakadilan berat atau pelanggaran prinsip keadilan yang serius," katanya.

Na’imah juga mendakwa tiada sebarang bukti yang membolehkan mahkamah mengenakan syarat pasport kerana tiada alasan bernas atau dokumen yang dirujuk oleh pendakwaan menunjukkan dia mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri.

Oleh itu, Na'imah memohon untuk menyemak semula perintah penahanan pasport oleh mahkamah sesyen sebagai antara syarat tambahan dalam kesnya.

Pada 23 Jan lepas Na'imah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk membabitkan Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi membenarkan Na'imah diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan dia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pada 29 Jan lepas Daim, 85, turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS