Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS sebenarnya bukanlah mengambil sikap menentang semua konsert yang diadakan di negara ini, kata salah seorang naib presiden parti itu.

Sebaliknya menurut Ahmad Samsuri Mokhtar tentangan PAS adalah terarah kepada artis atau kumpulan tertentu yang didapati mempunyai isu seperti menyokong gaya hidup LGBT, pro-Zionis dan seumpamanya.

Mengakui penganjuran konsert turut memberi sumbangan ekonomi kepada negara Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman itu menegaskan perlu ada syarat tertentu sebelum sesuatu konsert dibenarkan.

"Apabila kita nak buat sesuatu festival atau majlis, ada syarat-syarat dia, kan?

"Kalau yang datang buat concert tu dia cuma perjuangkan - misalnya - LGBT ataupun benda yang sensitif, ataupun Israel punya pro-Zionist, sebab itulah kita kata tak boleh.

"Individu yang nak perform tu (pula) mesti faham (keadaan setempat). Selain itu saya tak fikir ada masalah (bahkan) konsert menyumbang kepada pembangunan ekonomi," katanya pada majlis dialog PAS bersama media berbahasa Cina di Kuala Lumpur semalam.

PAS adalah antara pihak yang lantang bersuara mengkritik kerajaan yang membenarkan beberapa konsert dilangsungkan di negara ini. Antaranya melibatkan Coldplay baru-baru ini.

Bantahan itu antara lain dikaitkan dengan sikap kumpulan muzik British itu terhadap isu LGBT. Pada masa sama Coldplay juga merupakan antara penggiat seni Barat yang aktif memberikan sokongan kepada perjuangan Palestin.

Untuk rekod semasa PAS berada dalam kerajaan melalui PN, Putrajaya turut membenarkan beberapa konsert dilangsungkan termasuk membabitkan penyanyi dari AS, Billie Eilish.

Ditanya pandangan PAS jika hanya orang Islam saja dilarang daripada menyertai sesuatu konsert, Ahmad Samsuri berkata, memang mungkin untuk mewujudkan peraturan sebegitu.

Pada masa sama, katanya, perlu ada sikap untuk lebih saling menghormati dalam kalangan masyarakat untuk mengelakkan suasana tidak harmoni dalam negara.

"Anda juga perlu melihat dari sudut pandang orang Islam dan orang Melayu yang menjadi penduduk majoriti di kawasan tertentu.

"Kalau dia rasa sensitif kita menyebabkan suasana yang tidak harmoni. Saya fikir itu perkara utama yang perlu difahami," katanya lagi.

Ambil pendekatan berbincang

Sementara itu ditanya mengenai isu sistem pendidikan Cina, Ahmad Samsuri, PAS yakin penyelesaian boleh dicapai melalui sesi dialog dan komunikasi yang berkesan.

Dakwanya orang Cina dan orang Melayu tidak memahami sistem dan keperluan pendidikan antara satu sama lain.

Dia juga berpendapat masyarakat Cina tidak mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang pendidikan kumpulan bangsa lain.

“Jika PAS mengambil alih kerajaan pusat, perkara pertama yang perlu kami lakukan ialah pergi ke akar umbi secepat mungkin, berhubung dengan mereka, lakukan libat urus dan cuba mencari penyelesaian, bukannya hentikan segala-galanya, sama ada ia isu UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) atau isu sekolah vernakular.

"Apa yang penting ialah kita cari penyelesaian yang berkesan... yang membantu negara kita.

"It's not about win-win solution (Ia bukan mengenai penyelesaian menang-menang) tapi penyelesaian yang boleh membantu negara kita. Saya rasa itu lebih baik berbanding kita cari perbezaan (antara satu sama lain).

"Jadi macam mana nak faham (isu tertentu), kena sit down (duduk berbincang) dan dengar.

"Kita akan panggil kumpulan terbabit untuk memberi penjelasan dan kami akan bertanya soalan. Pendekatan itulah sebenarnya boleh menyelesaikan banyak masalah," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS