Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tak terlibat dengan mana-mana pihak yang dianggap pengganas'
Diterbitkan:  Feb 19, 2024 10:37 AM
Dikemaskini: 2:48 AM

Bekas pengurus besar Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Abu Bakar Abdul menyatakan rasa hairan terhadap Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat yang mengaitkannya dengan pengganas.

Menafikan sebarang penglibatan dengan kumpulan pengganas, Abu Bakar itu berkata dia tidak menyedari bahawa namanya dimasukkan dalam senarai oleh Pusat Saringan Pengganas (TSC) FBI.

Menurutnya, dia tidak mendapat sebarang makluman terus mengenai penyenaraian namanya itu dan hanya mengetahuinya daripada rakan-rakan selain ada yang menghantar salinan surat terbabit.

"Saya amat hairan bagaimana nama saya terkait sebab setahu saya memang tidak ada terlibat dengan mana-mana pihak, individu atau kumpulan yang dianggap sebagai pengganas sama ada di dalam atau di luar negara.

"Saya juga tidak pernah menaja, atau memberi sebarang bentuk bantuan atau sokongan kepada kumpulan seperti itu. Saya sangat pelik," katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Dia berkata bahawa dia akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kementerian Luar Negeri tentang perkara itu.

Abu Bakar adalah salah seorang daripada tiga pemimpin Malaysia daripada NGO Islam berbeza yang telah diletakkan dalam senarai FBI kerana terlibat secara aktif dalam menghantar bantuan ke Asia barat.

Menurut laporan New Straits Times, Kementerian Luar Negeri telah mengarahkan tiga individu itu dikecualikan daripada penglibatan dalam Op Ihsan, yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Palestin.

Pengerusi sekretariat Op Ihsan, Jismi Johari berkata dia telah menerima surat daripada Kementerian Luar Negeri bahagian Asia Barat yang memaklumkannya mengenai tiga individu yang diletakkan dalam senarai FBI.

Dia terkejut dengan dokumen itu bocor di media sosial kerana ia adalah pemberitahuan rasmi kementerian.

Katanya, dia kecewa dengan penyebaran surat itu di media sosial kerana ia boleh menimbulkan imej negatif terhadap tiga individu terbabit.

"Saya cuma kecewa kerana surat itu ditularkan sebab nama-mana individu itu dipamerkan.. ia melibatkan peribadi dan juga kerahsiaan identiti, maka ia akan memberi impak kepada individu berkenaan.

"Sebolehnya saya tidak mahu perkara ini menjadi kecoh. Tetapi bila surat ini sudah keluar (tular), kesianlah pada mereka. Mereka terpaksa menjawab, persepsi orang terhadap mereka itu yang kita tidak mahu kita pun tak tahu tahap siasatan FBI ini, mungkin disyaki sahaja.

"Mereka pun tidak tahu bagaimana mereka bertiga boleh termasuk dalam senarai itu. Saya memilih untuk bersangka baik sahaja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS