Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik syarikat, pekerja didenda lepas buat tuntutan palsu Penjana

Seorang pemilik syarikat dan pekerjanya didenda masing-masing RM50,000 dan RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM5,300, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas pemilik syarikat Arrie, Syahiman Mohd Zain, 34, dan pekerjanya Nurul Azwani Mohd Razali, 38, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dihadapi.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara masing-masing enam bulan dan tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda. Mereka membayar denda berkenaan.

Mohd Azhar turut mengarahkan baki wang sebanyak RM30,949.94 di dalam akaun bank CIMB Islamic milik syarikat Nur Ilahi Skills Resources serta dua unit komputer yang dibeli menggunakan duit hasil tuntutan insentif Penjana, dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh telah bersama-sama dengan curangnya menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi Borang Pengesahan Pekerja Penjana untuk menuntut insentif berjumlah RM5,300 di Perkeso Terengganu pada 5 Julai 2021, yang mana mereka mengetahui dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pada 31 Okt lepas, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi Borang Pengesahan Pekerja di bawah program itu yang mengandungi butiran palsu kepada seorang pegawai Perkeso, bagi menuntut insentif keseluruhan berjumlah RM126,100.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar dan Pegawai Pendakwaan SPRM Nur Raihan Mohd Yusof, manakala Arrie Syahiman diwakili peguam Mohd Fauzi Razali dan Nurul Azwani diwakili peguam Hayat Muhamad.

Terdahulu Mohd Fauzi memohon mahkamah supaya Arrie Syahiman diberikan denda yang minima, dengan alasan anak guamnya perlu menanggung ibu dan isteri yang tidak bekerja, manakala Hayat pula memohon supaya Nurul Azwani hanya dikenakan hukuman denda memandangkan ibu kepada empat orang anak itu telah mengaku salah dan telah menjimatkan masa serta kos mahkamah.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS