Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sidang tergempar resolusi bubar PSB? Wong kunci mulut
Diterbitkan:  Feb 17, 2024 9:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengadakan Sidang Perwakilan Tergempar (EDC) di sebuah restoran di Sungai Merah hari ini yang dikatakan untuk membentangkan satu resolusi bagi membubarkan parti itu.

Sidang secara tertutup itu dihadiri presiden parti Datuk Seri Wong Soon Koh, timbalannya Dr Johnichal Rayong dan Setiausaha Agung Baru Bian, bersama kira-kira 400 perwakilan.

Satu salinan notis EDC bertarikh 1 Feb itu telah dilihat oleh Bernama dan telah dihantar ke penasihat, pengerusi cawangan dan perwakilan PSB.

Bagaimanapun, ketika dihampiri pada pemberita selepas mesyuarat selama dua jam sejak 3 petang tadi, Wong enggan untuk mengulas sama ada resolusi untuk membubarkan parti itu dibentangkan.

Gambar fail.

Sebelum beredar untuk makan malam, semua yang hadir merakamkan foto berkumpulan dengan seseorang di belakang melaungkan slogan “Hidup PDP”.

Pemberita juga ternampak apa yang kelihatan seperti susunan borang dengan logo Parti Demokratik Progresif (PDP) di atasnya.

Sidang itu dipercayai merupakan sebahagian daripada proses penggabungan antara PDP dan PSP berikutan Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani oleh Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing dan Wong pada 13 Julai tahun lepas.

Tiong ketika ditemui media semasa berkunjung ke kediaman Wong pada Tahun Baru Cina 12 Feb lepas juga tidak mengulas lanjut mengenai perincian penggabungan itu tetapi berkata masanya belum tiba.

Bagaimanapun, beliau berkata proses itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, menambah sebarang bentuk penggabungan tidak akan mengakibatkan pilihan raya kecil.

PSB yang merupakan parti pembangkang memenangi empat kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak pada 2021, iaitu Bawang Assan (Wong), Engkilili (Rayong), Ba’kelalan (Baru) and Batu Lintang (See Chee How).

Bagaimanapun, See meninggalkan PSB pada Ogos 2022 untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas di Sarawak.

PDP, sebuah komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak yang menerajui Kerajaan Sarawak mempunyai lima kerusi dewan undangan negeri terdiri daripada Tasik Biru (Dato Henry Harry Jinep), Krian (Friday Belik), Meluan (Roland Duat), Dudong (Tiong) and Marudi (Datuk Dr Penguang Manggil).

Parti itu mempunyai dua kerusi Parlimen iaitu Bintulu yang disandang Tiong dan Baram (Datuk Anyi Ngau).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS