Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPF janji bayar tunggakan RM22.9 juta jualan saham ahli
Diterbitkan:  Feb 16, 2024 9:00 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) memberi jaminan akan membayar penebusan jualan saham kepada anggota koperasi itu dari bulan Feb hingga Julai tahun lalu yang berjumlah RM22.9 juta.

Bagaimanapun menurutnya, penebusan syer selebihnya akan dibayar secara berkala mengikut ketersediaan tunai dan mengikut keutamaan pemohon yang benar-benar memerlukan.

"KPF menyatakan komitmen dalam menangani aduan anggota berkaitan tunggakan penebusan syer yang melebihi tempoh enam bulan iaitu daripada bulan Februari hingga Julai 2023 yang berjumlah RM22.9 juta menjelang akhir bulan Mac 2024.

"Permohonan penebusan selebihnya akan dibayar secara berkala mengikut sistem penggiliran serta ketersediaan tunai.

"Walau bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada permohonan yang mempunyai bukti sokongan seperti urusan haji, sakit kritikal atau lain-lain urusan yang munasabah mengikut pertimbangan dan kelulusan lembaga," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, sekumpulan anggota KPF menyerbu pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan bayaran penebusan jualan saham dan dividen.

Wakil kumpulan tersebut, Mohammad Rosli Yaakob berkata kelewatan pembayaran tersebut berlaku sejak tahun lalu.

Pada awalnya, pihaknya merancang untuk mengadakan sidang media tetapi mereka kemudian dijemput ke satu perjumpaan bersama pengurusan tertinggi KPF.

Menurut Rosli, pada perjumpaan terbabit, KPF berjanji akan menyelesaikan pembayaran tunggakan dividen dan tuntutan penebusan penjualan saham selewat-lewatnya awal Mac ini.

Dalam pada itu KPF memaklumkan penebusan syer ketika ini adalah melebihi jumlah langganan dan koperasi itu terpaksa menggunakan tunai yang diperuntukkan untuk operasi perniagaan semasa, menyebabkan aktiviti pelaburan dan perniagaannya terkesan.

KPF turut memaklumkan pihaknya dalam proses menyediakan tunai tambahan melalui beberapa eksesais seperti pelupusan aset pelaburan dan mengenal pasti sumber-sumber kewangan yang lain.

"Selain itu, agihan dividen yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-42 pada 22 Jun 2023 berjumlah RM108 juta telah dibayar sepenuhnya," kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS