Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sediakan kertas putih, bukan Beras Madani - PAS Pahang

Masalah kekurangan beras putih tempatan di pasaran dalam negara sejak hampir setahun lalu perlu dijelaskan dengan lebih bertanggungjawab oleh Kerajaan Madani, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu.

Justeru itu, katanya PAS Pahang mencadangkan kerajaan persekutuan menyediakan satu kertas putih supaya segala persoalan membelenggu pemikiran rakyat dapat dijawab.

Andansura menegaskan rakyat berhak mendapat penjelasan menyeluruh dalam isu ini kerana beras adalah keperluan paling asas dan digunakan secara meluas oleh penduduk di Malaysia.

"Kalau setakat umum nak perkenalkan Beras Madani, itu tidak menyelesaikan apa-apa masalah kerana isu utama adalah ke mana perginya bekalan beras putih tempatan yang selama ini sangat mudah diperoleh di pasaran.

"Saya pun rasa pelik, semua beras import ada (di pasaran), beras tempatan 'hilang' dan tiba-tiba muncul Beras Madani.

"Jadi bolehlah buat satu Kertas Putih untuk menghuraikan perkara ini sebab rakyat ada hak untuk tahu apa sebenarnya sedang berlaku," katanya melalui satu kenyataan media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Kerajaan pada Rabu lalu mengumumkan pemansuhan kategori beras putih tempatan dan import dan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih - dikenali Beras Putih Malaysia Madani.

Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (gambar bawah) dilaporkan berkata penetapan harga siling bagi beras itu akan diumumkan Isnin ini dan pengguna boleh mula mendapatkan beras itu di pasaran tempatan mulai 1 Mac.

"Harga ditetapkan adalah RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini.

"Kerajaan memberi tempoh 10 hari kepada pemain industri beras membuat penyelarasan dari segi pembungkusan dan pemasaran," kata ahli parlimen Bukit Gantang itu.

Dalam pada itu, Andansura yang juga Adun Beserah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib peniaga yang berdepan kenaikan kos operasi sejak hampir setahun lalu.

"Mereka (peniaga) tiada pilihan melainkan turut menaikkan sedikit harga disebabkan peningkatan harga (beras) sebanyak ini.

Berapa campuran beras tempatan, import?

"Jadi, akhirnya ia secara langsung memberi kesan kepada pengguna," katanya lagi.

Dia turut meminta kerajaan mendedahkan secara tepat campuran beras tempatan dan import yang dijual kepada pengguna di negara ini.

"Kita nak tahu berapa peratus (campuran beras tempatan dan import)... adakah 50-50.

"Kalau standard harga RM30 untuk 10 kg perlu nyatakan peratusan campuran itu.

"Jika beras tempatan 90 peratus dan hanya 10 peratus beras import, tidak perlu harga sampai RM30.

“Kalau 100 peratus (beras) import oklah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS