Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peneroka serbu KPF tuntut penjelasan lewat bayar jualan saham

Sekumpulan anggota Koperasi Permodalan Felda (KPF) menyerbu pejabatnya di Kuala Lumpur bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan pembayaran dividen dan penebusan jualan saham.

Wakil kumpulan tersebut, Mohammad Rosli Yaakob berkata kelewatan pembayaran tersebut berlaku sejak tahun lalu.

Pada awalnya, pihaknya merancang untuk mengadakan sidang media tetapi mereka kemudian dijemput ke satu perjumpaan bersama pengurusan tertinggi KPF.

Menurut Rosli, pada perjumpaan terbabit, KPF berjanji akan menyelesaikan pembayaran tunggakan dividen dan tuntutan penebusan penjualan saham selewat-lewatnya awal Mac ini.

"Sepatutnya kita mula dengan sidang media, tapi kemudian saya bersama kira-kira 18 orang ahli dijemput untuk berjumpa dengan pengurusan KPF.

"Pihak KPF memberi jaminan dari pembayaran dividen KPF dan bonus bagi tahun 2023 akan dibayar.

"Bagi penebusan penjualan saham pula akan dibayar seawal bulan Mac ini secara berperingkat," katanya pada sidang media di luar pejabat Felda, hari ini.

Katanya, mereka diberi penjelasan bahawa kelewatan itu berpunca daripada masalah aliran tunai yang dihadapi KPF.

Bagaimanapun, dia berharap agar jaminan itu dipenuhi kerana banyak aduan serta masalah yang timbul berpunca daripada kelewatan pembayaran tersebut.

Berlaku sedikit kekecohan apabila kumpulan itu tidak dibenarkan membuat sidang media dalam premis KPF. Mereka kemudian akur dan menyambung sidang media di luar premis tersebut.

KPF menerusi pesanan ringkas kepada Malaysiakini memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Dulu hanya ambil masa 3 hari

Sementara itu, seorang ahli KPF, Azizi Mohd Idris, 51 dari Felda Pasoh 4, Simpang Pertang, Negeri Sembilan berkata sebelum ini penebusan penjualan saham hanya mengambil masa maksimum tiga hari.

"Sebelum ini, selepas buat permohonan di kaunter atau secara atas talian, tiga hari bekerja duit akan masuk dalam akaun.

"Bermula Januari 2023, bila hendak buat pengeluaran penjualan saham, sudah mula lambat dan memakan masa sehingga 3 bulan.

"KPF memberi alasan jumlah pengeluaran yang dimohon terlalu banyak dan perlu mengikut giliran permohonan, tapi selepas 3 bulan, kami mendapat jawapan permohonan kami masih diproses," katanya ketika ditemui selepas sidang media.

Tambah Azizi, kelewatan itu kemudian berterusan dari 6 bulan ke 9 bulan dan ada yang mengambil masa sehingga dua tahun walaupun permohonan dibuat pada tahun 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS