Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UMT cipta produk berasaskan kulat untuk bunuh siput gondang emas 
Diterbitkan:  Feb 16, 2024 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghasilkan MeT-GAS, iaitu produk bagi membunuh siput gondang emas atau Pomacea canaliculata yang menjadi ancaman besar kepada tanaman padi.

Ketua penyelidik Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi berkata MeT-GAS merupakan sejenis kulat yang bersifat toksik kepada siput berkenaan bagaimanapun, mesra alam dan tidak menjejaskan hidupan lain yang berada dalam ekosistem atau tanaman padi berkenaan.

Beliau yang juga pakar Entomologi berkata ia dihasilkan setelah melalui proses kajian yang panjang bermula pada tahun 2019 hingga 2023.

"MeT-GAS ialah kulat Metarhizium anisopliae yang berasal dari tanah. Ia merupakan patogen iaitu agen yang boleh menyebabkan penyakit kepada perumah dan hanya menjangkiti haiwan invetebrata seperti siput dan serangga.

"Oleh itu, MeT-GAS tidak berbahaya kepada hidupan lain kerana ia adalah bahan semula jadi dan bukannya kimia," katanya ketika dihubungi, di Kuala Nerus hari ini.

Wahizatul berkata kaedah penggunaan produk yang telah melalui fasa ujian makmal itu sangat mudah dan ia boleh digunakan secara meluas untuk mengatasi masalah serangan siput yang memberi kesan besar kepada bekalan beras domestik memandangkan ia boleh dikeluarkan dalam skala yang besar dengan kos yang minima.

Beliau berkata siput gondang emas bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya telah dibawa masuk ke negara ini pada awalnya bertujuan sebagai makanan dan haiwan peliharaan akuarium.

"Namun kini ia dikenali sebagai spesies perosak alien (Invasive Alien Species) paling serius yang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman padi seluruh dunia," katanya.

Katanya berdasarkan data oleh Jabatan Pertanian Malaysia, serangan siput gondang emas telah menyebabkan 2,386 hektar kawasan sawah padi di 10 negeri termasuk di Terengganu musnah pada tahun 2022.

Beliau berkata justeru, pihak kerajaan terutama agensi berkaitan pertanian perlu memberi perhatian serius terhadap aspek kawalan pembiakan haiwan itu bagi memastikan pengeluaran padi berada pada tahap optimum.

"Kita sedar bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan beras tempatan. Bagaimanapun, proses ini mengambil masa yang panjang sebelum membuahkan hasil.

"Selain itu, perubahan iklim yang ekstrem juga menyumbang kepada krisis ketidakcukupan bekalan beras apabila pertumbuhan padi terbantut akibat panas berpanjangan serta hujan berterusan," katanya.

Wahizatul berkata penggunaan MeT-GAS dalam jangka panjang boleh memberi hasil tuaian padi yang maksimum kepada pesawah, sekali gus mengekalkan kestabilan harga beras di pasaran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS