Empat individu yang ditangkap atas dakwaan terlibat dalam kegiatan samseng disyaki tidak puas hati dengan pemberian angpau RM5 oleh anggota parlimen Julau Larry Sng.
Media melaporkan Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam Sulin sebagai berkata semua suspek ditangkap pada jam enam petang pada 12 Februari, kira-kira 24 jam selepas Sng membuat laporan polis.
"Hasil siasatan mendapati semua suspek dikatakan tidak berpuas hati disebabkan angpau yang diberikan oleh pengadu berisi RM5 saja.
"Suspek mengisikan angpau dengan duitnya sendiri berjumlah RM10 lalu memulangkannya kepada pengadu sebagai tanda tidak berpuas hati dan dipermalukan," dia dipetik sebagai berkata.
Sng semalam mendakwa dia hampir diserang oleh sekumpulan samseng ketika sedang menziarahi masyarakat Cina di kawasan parlimennya.
Dakwanya, ada kalangan mereka berkata telah menyediakan senjata dalam kereta untuk menyerangnya tetapi bagaimanapun hanya pertengkaran tercetus dan seorang tuai rumah (ketua rumah panjang) dikasari.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu juga berkata pekan itu kini seperti "wild west" (tiada undang-undang), dikuasai samseng serta banyak kegiatan haram seperti jualan dadah, penyeludupan dan along.
Sementara itu, Andam berkata siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Andam berkata semua suspek ditahan reman selama tiga hari untuk melengkapkan siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan ugutan jenayah..
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.