Anggota Parlimen PKR Sim Tze Tzin sekali lagi membangkitkan isu penurunan populasi orang Cina, kali ini dengan menggesa masyarakat itu berbincang bagi mengatasi masalah itu.
Sim merujuk statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan jumlah penduduk Cina dia Malaysia yang menurun sejak 2021, dengan membandingkan kadar kelahiran kasar dan kadar kematian kasar bagi setiap 1,000 penduduk pada 2011 hingga 2022.
"Pada 2020, kadar kelahiran kasar bagi orang Cina Malaysia adalah 7.4 dan kadar kematian kasar adalah 6.7. 2020 adalah tahun terakhir di mana kadar kelahiran lebih tinggi daripada kadar kematian.
"Pada 2021 dan 2022, kadar kelahiran kasar orang Cina Malaysia adalah 6.4 dan 5.9 manakala kadar kematian kasar adalah 8.1 dan 7.8.
"Kadar kematian sudah lebih tinggi daripada kadar kelahiran," kata ahli parlimen Bayan Baru itu melalui hantaran di Facebook.
Sim berpandangan jika kadar perkahwinan dan kelahiran masyarakat Cina terus rendah, jumlah kaum itu di Malaysia akan terus menurun.
"Oleh itu, masyarakat Cina perlu lebih giat membincangkan isu ini. Bagaimana kita boleh mengubah trend perkahwinan dan kadar kelahiran yang rendah ini?" katanya lagi.
Sempena hari kekasih semalam, Sim menggesa orang Cina agar mendirikan rumah tangga bagi mengatasi kadar kelahiran yang rendah.
"Saya tertanya-tanya, kenapa bayi Cina tak ramai?
“Ketika saya tengok data DOSM saya dapati bukan saja bayi Cina kurang, mereka juga kurang menikah. Dua kali terkejut," katanya.
‘Kurang kahwin, kurang bayi’
Dia membangkitkan statistik 2022 yang menunjukkan hanya terdapat 40,000 kelahiran bayi Cina daripada keseluruhan 423,124 kelahiran – tidak sampai 10 peratus.
Dia juga memetik data perkahwinan pada 2021 yang mencatatkan perkahwinan di kalangan orang Islam sebanyak 2.7 kali ganda lebih banyak berbanding bukan Islam.
"Kurang kahwin, kurang bayi," simpulnya.
Dia tidak menyatakan data perkahwinan melibatkan Cina memandangkan DOSM hanya mengeluarkan data perkahwinan untuk orang Islam dan bukan Islam.
Hari ini, Sim menyuarakan harapan agar masyarakat Cina memandang serius masalah itu.
"Semuanya belum terlambat, penurunan jumlah penduduk hanya berlaku dalam beberapa tahun, ia masih boleh diterbalikkan.
"Saya akan membincangkan lebih lanjut mengenai langkah-langkah ke hadapan dalam hantaran seterusnya," katanya lagi.