Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SURAT | Pastikan KPI berpijak di bumi nyata sebelum laksana Deep

Apa-apa jua jenis penilaian yang hendak dilakukan terhadap pekerja, semua pihak khususnya majikan harus memastikan sasaran kerja yang dirangka realistik dan berpijak di bumi nyata.

Sekiranya sasaran kerja yang dirangka tidak realistik dan berpijak dibumi yang nyata, agak sukar untuk proses penilaian pekerja dilakukan dengan adil dan saksama. 

Baru-baru ini pihak kerajaan mengumumkan bahawa penjawat awam akan mula dinilai menggunakan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (Deep) bermula tahun ini. 

Melalui sistem Deep ini, kaedah penilaian bermula dengan mata 100 peratus dan demerit akan dikenakan jika penjawat awam berkenaan gagal mencapai objektif yang ditetapkan. 

Masih terlalu awal untuk menilai tahap keberkesanan sistem Deep ini. 

Namun, apa-apa jua jenis penilaian yang ingin dilakukan kelak sudah pasti ia dilakukan berdasarkan sasaran kerja yang ditentukan. Buat sekian lama, terdapat pelbagai jenis kaedah yang diguna pakai oleh majikan untuk merangka sasaran kerja di tempat kerja mereka sama ada sektor awam ataupun swasta.Antara penilaian yang selalu digunakan adalah Petunjuk Prestasi Utama atau lebih dikenali sebagai Key Performance Indicator (KPI). KPI adalah kaedah pengukuran yang mudah, berkesan dan dapat membantu majikan dan sesebuah organisasi menilai tahap kemajuan pekerjaan dan perkhidmatan yang ingin disampaikan. 

Penggunaan KPI adalah penting pada masa kini. 

Banyak organisasi dalam negara kita sudah pun mula mengamalkan KPI dalam merangka perjalanan rancangan, aktiviti yang ingin dilaksanakan dalam tempoh masa ditetapkan. 

Secara umumnya penggunaan KPI dapat difokuskan kepada tiga perkara utama iaitu menjelaskan hala tuju sesebuah organisasi, memberi tumpuan terhadap bidang utama serta menilai tahap prestasi disasarkan. Proses penambahbaikan juga dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan dengan adanya KPI. 

Walaupun penggunaan KPI dapat membantu perjalanan sesebuah organisasi merangka aktiviti dirancangkan, KPI berkenaan haruslah dirangka dengan professional dan bijak mengikut realiti dan kesesuaian organisasi. Persekitaran kerja penuh tekanan

Tidak dapat dinafikan setiap organisasi mempunyai objektif serta matlamat yang berbeza.

Jika KPI yang dirangka tidak menepati keadaan organisasi yang terlibat ia dikuatiri melahirkan persekitaran pekerjaan yang penuh tekanan serta tidak harmoni. 

Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum sesebuah organisasi merangka KPI dengan mengambil kira faktor jumlah tenaga pekerja serta pakar serta dana kewangan yang ada. 

Sesebuah organisasi tidak boleh meniru bulat-bulat KPI organisasi lain kerana perbezaan faktor-faktor di atas. 

Selain itu, KPI yang hendak dirangka perlu juga mengambil kira usia pekerja.

Setiap pekerja tidak sepatutnya diberi KPI yang sama. KPI yang berlainan dan bersesuaian perlu diberikan kepada pekerja muda dan pekerja yang sudah berusia. 

Kita harus menerima hakikat, semakin seseorang pekerja itu meningkat usianya, tidak semua jenis tugasan sesuai untuk dilakukan sama seperti di zaman muda mereka.

Ini kerana faktor kekurangan kekuatan tenaga serta masalah kesihatan selalunya dihadapi pekerja yang sudah meningkat usia. 

Oleh yang demikian, penting supaya KPI dapat dirangka mengikut kumpulan usia pekerja yang berusia antara 18 tahun sehingga 39 tahun, 40 tahun sehingga 59 tahun dan 60 tahun ke atas. 

Setiap pekerja harus diberi KPI yang berlainan untuk dipenuhi mengikut kumpulan usia masing-masing. 

Pelaksanaan KPI yang tidak realistik dan tidak bersesuaian dengan usia pekerja perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan kewujudan tekanan.

Jika tiada langkah proaktif atau pencegahan diambil di peringkat awal bagi mengatasi tekanan yang berlaku, pelbagai kesan negatif boleh berlaku seperti darah tinggi, kemurungan, tekanan perasaan, masalah jantung, serta kematian. 

Tekanan juga boleh menjejaskan kehidupan peribadi pekerja. Tekanan menjejaskan produktiviti seseorang individu serta memberi impak terhadap produktiviti dan reputasi organisasi yang terlibat. 

Dalam mewujudkan sebuah tempat kerja yang harmoni serta kurang tekanan, semua pihak perlu saling bekerjasama dan memahami antara satu sama lain. 

Terdapat pelbagai isu yang boleh memberi tekanan dalam kehidupan harian semua pihak termasuk pekerja. 

Ini termasuk keadaan ekonomi semasa, isu kos sara hidup, dan penularan virus Covid-19.

Oleh yang demikian, pihak yang berkaitan perlu memberi kerjasama bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Ini boleh dibuat dengan merangka strategi berkesan mengurangkan tekanan serta mewujudkan tempat kerja yang harmoni mengikut peruntukan undang-undang buruh seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994. 


MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya, Fakulti Syariah dan Undang-indang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS