KES 1MDB | Jasmine Loo memberi keterangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) mengancam untuk menjadikan hidupnya seperti di dalam neraka jika dia meninggalkan Bangkok, Thailand dan kembali ke Malaysia.
Bekas penasihat undang-undang 1MDB itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ini sebab dia baru pulang ke Malaysia pada tahun lepas.
Semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, Loo berkata jika tidak kerana ugutan itu, dia sudah kembali ke Malaysia lebih awal.
“Pada asasnya, Jho Low bersumpah untuk membuatkan kehidupan saya menjadi seperti neraka dan menggunakan setiap sumber dan kuasanya bahawa saya akan menemui penghujung yang mengerikan jika kembali ke Malaysia.
"Saya tidak bekerja, dan terpaksa hidup dengan dana, dengan Jho Low akan menghantar orang yang tidak dikenali pada setiap lapan atau sembilan bulan untuk memberinya dana, berjumlah AS$2,500 setahun.
"Adalah menyedihkan untuk bergantung kepada seseorang yang bersumpah untuk menjadikan hidup saya seperti neraka, tetapi saya tidak mempunyai pilihan untuk terus hidup.
"Ia amat menyedihkan tetapi saya perlu bertahan dan saya perlu mencari jalan selamat untuk pulang ke Malaysia tanpa dia (Low) mengetahuinya. Saya takut keselamatan nyawa saya," kata Loo kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.
Semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya T Deepa Nair, Loo berkata dia tidak pernah berniat untuk melarikan diri apabila meninggalkan Malaysia pada April 2018 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan tinggal di Bangkok selama lima tahun sehingga 2023.
Loo berkata sepanjang berada di Thailand, dia melihat apa yang berlaku kepada pemberi maklumat 1MDB Switzerland, Xavier Andre Justo (gambar atas) apabila ditangkap dan dipenjarakan di negara itu.
Justeru, kata Loo dia kekal di Bangkok untuk mengelak daripada membahayakan dirinya.
Saksi pendakwaan ke-50 itu memberi keterangan bahawa dia menghadapi banyak halangan dalam usaha untuk kembali ke Malaysia dan peguamnya berjaya merundingkan laluan selamat dia pulang ke Malaysia pada Julai tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan hakim Sequerah disambung semula pada hari Jumaat minggu ini.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.