Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wahai orang Cina, tolonglah kahwin - MP
Diterbitkan:  Feb 14, 2024 2:00 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Sempena hari kekasih hari ini, seorang anggota parlimen PKR mengajak orang Cina mendirikan rumah tangga.

Anggota parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin membuat seruan itu setelah mendapat "kejutan berganda" selepas meneliti jumlah kelahiran keluarga Cina yang rendah.

"Saya tertanya-tanya, kenapa bayi Cina tak ramai? 

“Jadi saya gunakan cuti CNY (raya Cina) saya untuk menggali isu ini lebih dalam (lagi pun CNY adalah masa paling tepat untyuk membincangkan isu berkaitan masyarakat Cina). 

“Ketika saya tengok data DOSM (jabatan perangkaan) saya dapati bukan saja bayi Cina kurang, mereka juga kurang menikah. Dua kali terkejut," katanya.

Menulis di media sosial, Sim berkata, pada tahun 2022 hanya terdapat 40,000 kelahiran bayi Cina daripada keseluruhan 423,124 kelahiran–tidak sampai 10 peratus.

Dia juga memetik data perkahwinan pada 2021 yang mencatatkan perkahwinan di kalangan orang Islam sebanyak 2.7 kali ganda lebih banyak berbanding bukan Islam.

Dia tidak menyatakan data perkahwinan melibatkan Cina memandangkan DOSM hanya mengeluarkan data perkahwinan untuk orang Islam dan bukan Islam.

Daripada data itu, Sim menyimpulkan bahawa junlah kelahiran kurang di kalangan orang Cina kerana mereka tidak berkahwin.

"Kurang kahwin, kurang bayi," katanya.

Justeru, katanya, sempena tahun naga, saya menggesa komuniti Cina menangani "masalah" kurang perkahwinan.

"Walaupun hidup bujang itu pilihan sendiri, kita patut menggalakan perkahwinan di kalangan mereka yang tidak mahu berkahwin.

“Saya menggesa orang bujang di luar sana, keluarlah cari cinta dan pasangan hidup kamu. 

“Tolonglah kahwin dalam tahun naga yang bertuah ini. Ia perjalanan yang berbaloi untuk ditempuhi. 

“Ingat, buat anak juga. Selamat hari kekasih,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS