Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undang-undang penjajah masih kekal walaupun dah merdeka - Hadi
Diterbitkan:  Feb 14, 2024 11:23 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Walaupun telah mencapai kemerdekaan, negara-negara Islam hilang integriti akibat mengekalkan undang-undang penjajah, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata para pejuang kemerdekaan suatu ketika dahulu telah meletakkan batu asas dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana Islam sebagai agama bagi Persekutuan; manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Namun semenjak itu dakwanya, banyak pindaan undang-undang dibuat dengan meninggalkan syariat Islam.

"Dahulunya, ada daripada kalangan para hakim yang bijaksana seperti Almarhum Tun Salleh Abas, Almarhum Tan Sri Harun Hashim dan lain-lain.

"Ada yang masih hidup seperti Tun Abdul Hamid, Tun Ahmad Fairuz dan lain-lain yang menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menjaga dan mempertahankan syariat buat sementara waktu mengikut mafhum yang ada dalam keimanan di hati mereka kepada Islam. Mereka tidak melayan tindakan-tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.

"Namun demikian, kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah," kata Abdul Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS.

Menurut Abdul Hadi, umat Islam yang mempertahankan kedaulatan agama itu, wajib bangkit menentang usaha yang 'zalim dan menyesatkan mereka' daripada Islam yang sebenar.

"Hal ini demikian kerana dosa menghina Islam lebih besar daripada dosa menghina mahkamah yang sebenarnya hina di hadapan Allah," ujarnya.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana kes atau memberi konteks terhadap ulasan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS