Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Terengganu giat menjalankan program pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) melibatkan komuniti Orang Asli di negeri itu bagi memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan mendaftar.
Pengarahnya Marlini Sahul Hamid berkata program itu melibatkan 1,072 Orang Asli di tiga penempatan iaitu Sungai Berua, Hulu Terengganu; Sungai Pergam, Kemaman dan Sungai Sayap, Besut.
"Di Sungai Berua urusan pendaftaran lebih 300 penduduk sudah selesai. Hari ini dan esok kita akan selesaikan urusan di Sungai Pergam sebelum ke Sungai Sayap dalam masa terdekat.
“Setakat ini kami mendapat kerjasama baik daripada masyarakat Orang Asli sekali gus melancarkan urusan pendaftaran yang kini hampir selesai," katanya ketika ditemui pada program pengisian Padu bersama masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam di Chukai, Kemaman hari ini.
Dalam pada itu, Marlini turut memaklumkan peratusan kemas kini harian Padu di Terengganu adalah keempat tertinggi selepas Putrajaya, Perlis dan Sarawak.
Menurut Marlini setakat 11 Feb, seramai 156,509 daripada 871,000 penduduk Terengganu yang berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar dengan sistem berkenaan.
“Daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 34,750 orang diikuti Besut (23,370), Dungun (21,601), Kemaman (19,651), Marang (17,994), Kuala Nerus (10,997) dan Hulu Terengganu (12,398).
“Pelbagai usaha dan kempen sedang dijalankan dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan orang ramai mendaftar dengan Padu sebelum 31 Mac depan,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak menunggu saat akhir untuk mendaftar bagi mengelak tercicir daripada program bantuan atau subsidi oleh kerajaan.
-Bernama