Seorang pemimpin Umno berkata anggota Bersatu tidak akan mendapat apa-apa habuan dengan terus bersama parti itu.
"Ahli Bersatu penat menunggu buah yang tidak gugur.
“Tiada jawatan ketua kampung, ahli majlis, board GLC (lembaga syarikat berkaitan kerajaan) atau agensi,” kata Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.
Menulis di media sosial, Puad berkata mereka kini hanya memegang “keyakinan palsu” daripada kepimpinan dan hanya berharap belas ihsan parti sekutu.
"Bersatu adalah kapal yang semakin tenggelam tanpa ihsan PAS," katanya.
‘Bukan bodoh tapi terlebih pandai’
Sementara itu, Puad juga membangkitkan kritikan penulis blog Raja Petra Kamaruddin setahun lalu bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin “dikelilingi oleh orang bodoh”.
"Rasanya dakwaan RPK (Raja Petra) itu tidak tepat.
“Mereka tidak stupid tetapi over (terlebih) pandai,” katanya.
Raja Petra, bekas tahanan tanpa bicara yang juga kerabat diraja Selangor, kini menetap di England setelah membuang diri ke luar negara 2009.
Dia antara tujuh orang yang diburu polis Malaysia kerana berdepan siasatan pelbagai isu termasuk perkauman dan jenayah dan ‘berlindung’ di negara asing.
Sementara itu, Mohd Puad sekali lagi menggesa anggota Bersatu supaya meninggalkan parti itu kerana ia adalah “kapal yang akan karam”.