Cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) terus mengundang pelbagai pandangan.
Bagi pengarang dan pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Faisal Tehrani, cadangan itu adalah sesuatu yang perlu disokong kerana ia merupakan langkah pelestarian sejarah untuk generasi akan datang.
Dia berkata untuk dimasukkan dalam senarai Unesco, tapak berkenaan mestilah mempunyai nilai universal yang tinggi dan memenuhi sekurang-kurangnya satu daripada sepuluh kriteria pemilihan.
Menurut Faisal, dia yakin kampung-kampung tersebut memenuhi sekurang-kurangnya dia kriteria, iaitu memiliki tradisi kebudayaan yang unik dan ada perkaitan nyata atau secara langsung dengan peristiwa atau tradisi yang masih hidup.
“Bagaimanakah langkah ini mengancam hak bumiputera? Saya percaya ini adalah kerana status pegangan pajakan.
“Selepas hampir 80 tahun, saya rasa status tanah itu perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah, warisan dan budaya masyarakat Cina,” katanya kepada Malaysiakini.
Memetik Kampung Morten di Melaka sebagai contoh, Faisal berkata pewartaan itu akan memberi tapak itu status budaya yang signifikan yang akan menarik pelancong, penyelidik dan ahli sejarah.
Kampung-kampung Melayu
Faisal juga menggesa pemimpin Umno agar mencontohi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk turut melestarikan perkampungan Melayu.
Ia susulan pendirian Umno bahawa tiada keperluan untuk menjadikan kampung baru Cina sebagai tapak warisan Unesco.
Dia berkata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dapat memulakan usaha itu dengan beberapa kampung seperti Kampung Lonek di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan boleh melakukan perkara sama untuk kampung di Pontian.
“Ahli politik dan aktivis Melayu perlu duduk dan belajar daripada Nga dan kementeriannya tentang bagaimana untuk mendapatkan pengiktirafan buat kampung Melayu juga.
“Dapatkan kampung Chettiar, Rumah Panjang tertentu di Sarawak, Kampung Dusun di Sabah, kampung Orang Asli, dan penempatan Portugis atau Siam. Lihatlah perkara ini dari perspektif budaya,” tambahnya
Tambahnya, jika kampung-kampung itu mendapat pengiktirafan Unesco, ia akan memberi kesan buruk terhadap segelintir ahli politik Melayu yang menjadikan perkara itu sebagai isu perkauman.
“Mereka tidak berbuat apa-apa untuk kampung tradisi Melayu. Tiada apa yang telah dilakukan untuk memartabatkan Kampung Baru dan Kampung Dato Keramat misalnya.
“Lebih teruk lagi mereka telah menyerahkan Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi kepada kapitalis dan pemaju,” katanya.
Setakat ini, dia berkata tidak banyak yang dilakukan ahli politik Melayu untuk kampung tradisi Melayu.
"Misalnya tiada apa yang dilakukan untuk mengangkat Kampung Baru dan Kampung Datuk Keramat di Kuala Lumpur.
"Lebih teruk, mereka lepaskan Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi kepada pemaju dan kapitalis," katanya lagi.
Pada 1 Februari lalu, Nga berkata rancangan sedang dirangka untuk mengiktiraf kampung baru Cina atas nilai budaya dan sejarahnya.
Cadangan itu mengundang bantahan, antaranya daripada Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf mendakwa status Unesco akan menyebabkan penduduk di kampung-kampung itu diiktiraf sebagai "orang asal" di situ, dan justeru menyentuh status bumiputera Melayu.
Presiden Gerakan Dominic Lau juga menegur Nga yang menurutnya mengulangi kesilapan biasa kerajaan PH iaitu komunikasi yang lemah.
Katanya lagi, penjelasan menyeluruh perlu diberikan dan pada masa menghormati pandangan pihak terlibat, terutama orang Melayu dan Cina.
Nga kemudian menepis dakwaan bahawa cadangan status Unesco akan mencabar hak bumiputera dan Melayu, selain menyambut baik gesaan agar kampung Melayu juga mendapat pengiktirafan sama.
Sementara itu, penyelidik dan penulis WN Khuzairey berkata mempromosikan budaya tidak bermakna pihak lain diketepikan.
Jelasnya, di negara yang dikenali dengan kepelbagaian budaya, pihak yang ada sumber dan dokumen ada hak untuk mempromosikan budaya mereka.
"Malangnya, diskusi berkenaan warisan masih tidak meluas di negara ini. Ia termasuklah nota-nota dan dokumen yang tersusun," katanya lagi.
Bagaimanapun bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy mempersoalkan sebab di sebalik cadangan Nga itu dan kaitan sejarah kampung-kampung terbabit.
Katanya, banyak lagi tapak semula jadi dan bersejarah yang perlu diteliti untuk penyenaraian warisan Unesco seperti monumen kebangsaan serta binaan ketika era penjajahan dan pascapenjajahan.
Dia turut membidas kerajaan yang menurutnya tidak tahu tapak mana yang boleh diutamakan bagi pengiktirafan Unesco.
“Terdapat begitu banyak tapak semula jadi dan bersejarah yang menunggu untuk dikenal pasti...
“Mengapa kemegahan masa lampau negara ini tidak diberikan penghargaan yang sewajarnya?” soalnya.