Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno tawarkan Nga pembelajaran sejarah Tanah Melayu
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 10:13 AM
Dikemaskini: 2:13 AM

Ekoran kontroversi permohonan pengiktirafan dunia terhadap perkampungan masyarakat Cina, Pemuda Umno memberitahu mereka menawarkan 'pembelajaran sejarah' buat menteri yang berkenaan.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata pada dasarnya sayap parti Umno itu tidak beranggapan perlu ada pertemuan di antara pihaknya dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

"Tiada apa yang perlu dibincangkan lagi. Tiada keperluan untuk cadangan ini dan fullstop (noktah).

"Jika nak jumpa (juga) boleh, tetapi kami nak ajar YB menteri (Nga) mengenai sejarah Tanah Melayu dan Perlembagaan Malaysia sekali," katanya dalam hantaran di media sosial.

Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nga mengenai isu pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) terhadap Kampung Baru Cina di Selangor.

Sebelum ini kementerian terbabit dilaporkan mahu mengemukakan cadangan agar pertempatan berkenaan mendapat perakuan Tapak Warisan Dunia oleh Unesco.

Bagaimanapun langkah tersebut mendapat reaksi yang pelbagai dengan sesetengahnya menentang.

Ia mendorong Nga menyatakan kesediaan untuk bertemu bagi menjelaskan isu tersebut.

“Kami menjemput mereka untuk bertemu supaya kita boleh berbincang dan memahami fakta supaya mereka tidak diperdaya oleh pembangkang,” kata Nga dipetik New Straits Times.

Kenyataan dibuat Akmal bagi pihak Pemuda Umno Malaysia itu adalah antara reaksi terbaru dibuat Umno.

'Jika YB setuju, lets find a date (mari cari satu tarikh yang sesuai)," kata Akmal lagi.

Sebelum ini bantahan Umno turut disuarakan setiausaha agung parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula mendakwa cadangan dikemukakan Nga tidak pernah dibincangkan dengan Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS