Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima anggota unit peronda polis mengaku tidak bersalah kes pemerasan

Lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di Pulau Pinang atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang pekerja kilang.

Sarjan Rozaini Abu Hassan, 48, Koperal Muhammad Mustaqim Ismail, 35, Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24, Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38, dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun.

Ia selepas mangsa dikatakan telah melakukan kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM4,500.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 10.15 malam, pada 1 Feb.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Mohd Nordin Ismail menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan syarat tambahan mereka tidak dibenarkan mendekati saksi sehingga kes selesai.

Peguam VS Kumar yang mewakili semua tertuduh memohon jumlah jaminan munasabah kepada semua anak guamnya, dengan alasan masing- masing menanggung isteri, anak yang masih kecil termasuk anak orang kurang upaya (OKU) serta ada isteri tertuduh yang sarat mengandung.

Mahkamah menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin, serta melarang mereka mengganggu saksi hingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 15 Mac depan untuk serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan lima anggota polis ditahan kerana dipercayai melakukan pemerasan wang berjumlah RM4,500 terhadap pekerja kilang, kerana didakwa memiliki dadah di Jalan Permatang Tinggi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS