Paling Popular
Terkini

Seorang kelindan lori ditahan kerana disyaki mencederakan abangnya menggunakan pisau di rumah mereka di Bandar Baru Ampang di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata polis menahan lelaki berusia 20 tahun itu di Bandar Baru Ampang pada 9.50 malam serta merampas sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan terdapat kejadian pergaduhan adik-beradik pada 9.14 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah bertengkar dengan suspek berpunca daripada masalah kewangan sehingga suspek bertindak mengambil sebilah pisau dan melibas ke arah kaki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang berumur 25 tahun dibawa ke Hospital Ampang dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka torehan pada betis dan siku kanan.

Mohd Azam berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah namun mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau.

Lelaki itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS