Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada keperluan buat kunjungan rumah ke rumah daftar Padu

Jabatan Perangkaan belum mengarahkan kakitangan mereka melakukan kunjungan dari rumah ke rumah bagi tujuan meningkatkan jumlah pendaftaran orang ramai di Hab Pangkalan Data Utama (Padu) buat masa ini.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, perkara itu perlu diperjelaskan supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan dan menggunakan nama jabatan itu untuk tujuan penipuan.

"Kunjungan dari rumah ke rumah ini kita tidak (buat) spesifik tetapi kita mendekati secara bersasar misalnya komuniti Orang Asli, rumah orang tua, warga emas.

"Tapi kita tidak adalah sampai peringkat buat (macam) banci pergi rumah ke rumah, cuma kalau ada kemungkinan pun, kita edar risalah atau brosur.

"(dan) Kalau ada pun, kita akan bersama ketua komuniti atau ketua komuniti maklumkan dalam kumpulan WhatsApp keberadaan kami di sesuatu tempat.

"Memang kita tahu timbul kerisauan ada pihak menyamar dan menipu orang ramai, macam kita buat banci penduduk dan perumahan dulu pun ada kes yang ambil kesempatan," katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Dia mengulas demikian ketika ditanya mengenai usaha untuk meningkatkan pendaftaran Padu dalam kalangan penduduk memandangkan jumlah direkodkan masih rendah selepas ia dilancarkan 2 Jan lalu.

Sehingga semalam, hanya 2.82 juta daripada kira-kira 30 juta nama penduduk dan perlu membuat pengesahan dan kemas kini maklumat masing-masing sehingga 31 Mac ini.

Mohd Uzir sebelum itu meninjau kaunter pendaftaran Padu di Pusat Transformasi Bandar Pahang, dekat Kuantan.

Ketika ditanya berkaitan isu keselamatan data pula, Mohd Uzir menjelaskan perkara itu sepatutnya tidak timbul kerana keselamatan data rakyat negara ini sentiasa menjadi keutamaan.

"Dalam membangunkan sistem ini, faktor keselamatan menjadi keutamaan kita dan kita membuat pemantauan rapi secara harian.

"Isu keselamatan, pemeliharaan data-data yang telah dikemas kini, dipastikan sentiasa di peringkat tertinggi," katanya lagi.

Sebelum ini, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) pernah mencadangkan agar Padu digantung sehingga Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dipinda untuk menghapuskan klausa yang mengecualikan kerajaan daripada liabiliti.

Bagaimanapun saranan itu kemudiannya dijawab Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Jan lalu yang meminta LFL terlebih dahulu memahami perbezaan antara data di bawah PDPA dan data yang tersedia secara umum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS