Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ratusan sertai Himpunan Selamatkan Syariah di Putrajaya

Ratusan berkumpul di sekitar pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pagi ini, bagi menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen mencabar 18 peruntukan enakmen kesalahan jenayah di Kelantan.

Dinamakan Himpunan Selamatkan Syariah, orang ramai mula hadir di situ sekitar jam lapan pagi, dengan himpunan dimulakan dengan ucapan beberapa ahli politik dan pemimpin NGO sebelum disusuli dengan sembahyang hajat.

Antara pemimpin PAS yang hadir adalah bekas menteri besar Kelantan Ahmad Yakob, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, naib presiden Idris Ahmad, ketua penerangan Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman.

Manakala Bersatu diwakili naib presidennya Mohd Radzi Jidin yang juga ahli parlimen Putrajaya.

Kebanyakannya mengangkat sepanduk tertera slogan "pertahan enakmen syariah Kelantan" dan melaungkan takbir.

Panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk membenarkan petisyen yang difailkan peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Pada masa sama, Tengku Maimun sekali lagi menegaskan petisyen itu bukan berkenaan kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah, namun tentang keabsahan perlembagaan terhadap peruntukan enakmen.

Perkara sama dinyatakan Nik Elin ketika ditemui media hari ini, yang antara lain berkata ia berkenaan bidang kuasa DUN Kelantan dan berharap DUN akan lebih berhati-hati dalam menggubal undang-undang selepas ini.

Bagaimanapun Takiyuddin menyifatkan hari ini sebagai "Jumaat yang hitam" ekoran keputusan itu dan berkata ia juga mengancam undang-undang jenayah syariah di negeri lain.

Nik Elin (tengah)

Perhimpunan berlangsung aman tanpa sebarang provokasi, dengan polis dan Unit Amal PAS mengawal keadaan sehingga para hadirin bersurai.

Ahmad Fadhli berkata PAS tidak membuat kerahan bagi himpunan ini dan orang ramai hadir atas inisiatif dan kesedaran sendiri.

"Kita tak buat ketetapan. Kita hanya menjemput sahaja. Tak ada arahan wajib.

"Kita hanya menjemput dan alhamdulillah kita mendapat kehadiran seramai ini yang kita anggap lebih dari cukup untuk memberi isyarat sokongan rakyat kepada kerajaan Kelantan," katanya kepada Malaysiakini.

Pengerusi bersama Gerakan Selamat Syariah Mohd Zai Mustafa mendakwa lebih 2,000 hadir perhimpunan itu.

"Setiap DUN di Kelantan (datang) satu bas. Tapi ada yang lebih (dari sebuah bas) sebab ini memang isu mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS