Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakak sulung CEO Cradle Fund reda keputusan mahkamah

Kakak sulung kepada Nazrin Hassan reda dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan pembebasan Samirah Muzaffar (gambar atas) dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund itu, enam tahun lepas.

"Kami terima semuanya sebagai ketentuan Allah dan kami terima dengan reda...doakan kami kuat. Kami sedih adik kami mati tetapi pada masa sama, kami tidak mahu Samirah disabitkan," kata Che Elainee Che Hassan, 67, dalam nada sebak dan menangis ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua lagi remaja daripada pertuduhan membunuh.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Samirah dan dua remaja itu berkata sejak kes itu dipertuduhkan pada 2018, anak guamnya berada dalam keadaan sangat tertekan.

"Samirah amat tertekan...dari siasatan dan kemudian dituduh. Dengan keputusan hari ini, beliau (Samirah) amat-amat gembira sebab bukan sahaja menang kes seperti di Mahkamah Tinggi (lepas dan bebas).

“Ini adalah satu kemalangan, bukan satu kebakaran yang disengajakan dan bukanlah pembunuhan," kata peguam itu.

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 49, dan dua lagi remaja masing-masing kini berusia 21 dan 18 daripada pertuduhan membunuh Nazrin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga mereka.

Ketiga-tiga mereka dan seorang wanita rakyat Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, hari berikutnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS