Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengasas Sarawak Report mohon batal sabitan, hukuman penjara

Pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown merujuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara dua tahun atas tuduhan fitnah jenayah terhadap Sultanah Terengganu Nur Zahirah.

Peguam wartawan itu, Guok Ngek Seong mengesahkan bahawa notis rayuan difailkan awal hari ini.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu mendapati Rewcastle-Brown bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, dan menjatuhkan hukuman in absentia (tanpa kehadiran).

Sabitan dan hukuman itu adalah berhubung bukunya ‘The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Exposé’.

Seksyen 500 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Kes itu melibatkan perenggan dalam edisi awal buku Rewcastle-Brown yang menyebut tentang sultanah.

Mengikut kertas pertuduhan, bahagian yang menjadi pertikaian itu berada di baris tujuh perenggan empat di muka surat tiga buku itu.

Kertas pertuduhan mendakwa buku itu ditulis di Lot 60048, Taman Chenderiang 21080, di Kuala Terengganu pada 8 pagi pada 14 Sept 2018.

Walau bagaimanapun, edisi buku yang dikemas kini kemudiannya mengeluarkan perenggan berkenaan.

Rewcastle-Brown didakwa in absentia di hadapan mahkamah rendah negeri itu pada 23 Sept 2021.

Disember lalu, Rewcastle-Brown dan dua yang lain diperintahkan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi fitnah kepada sultanah dan dalam saman sivil berasingan berhubung bahagian yang sama dalam buku itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS