Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin gesa MP Islam pertahan perundangan syariah
Diterbitkan:  Feb 8, 2024 4:55 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, cabaran peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap undang-undang syariah bakal memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja di Kelantan, tetapi seluruh negara.

Sehubungan itu dia menyeru agar ahli parlimen khususnya yang beragama Islam agar berdiri teguh di belakang Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dalam mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini.

"Saya juga menggesa pihak kerajaan agar mengkaji suatu pindaan perlembagaan yang bersesuaian bagi melindungi kedaulatan undang-undang syariah sekali gus memperkasa dan mempertahankan sistem kehakiman syariah negara kita," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Esok Mahkamah Persekutuan akan bersidang bagi membuat keputusan dalam kes petisyen yang difailkan oleh Nik Elin dan anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan negeri Kelantan bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri itu, terbatal dan tidak sah.

Pada 20 Nov tahun lepas, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujahan daripada pihak berkaitan.

Hakim Mahkamah Persekutuan lain yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Dalam pada itu, Pemuda PAS dalam satu kenyataan berkata, rakyat Malaysia perlu memahami tindakan Nik Elin itu merupakan ancaman besar kepada bidang kuasa undang-undang Islam di Malaysia.

Katanya, undang-undang kesalahan jenayah syariah di Malaysia jelas hanya menangani jenis kesalahan berhubung perintah terhadap agama Islam sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan, Senarai Negeri.

“Orang Islam mempunyai hak dan kewajipan untuk dihukum di mahkamah syariah, selain untuk memartabatkan hukum-hakam Allah di Malaysia.

“Oleh sebab itu, telah ditetapkan oleh ‘our founding fathers’ di dalam perlembagaan negara kita bahawa badan perundangan negeri boleh menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah di negeri masing-masing.

“Selagi mana ia merupakan suatu kesalahan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam sepertimana yang dinyatakan di dalam kes Sulaiman Takrib serta dalam lingkungan yang dibenarkan oleh Perlembagaan,” kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS