Calon Ketua Pengarah (KP) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) telah dimuktamadkan, dan akan diumumkan setelah selesai beberapa proses dokumentasi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurutnya nama calon tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet dan pada masa yang sama kementerian itu dalam proses merombak struktur J-Kom.
"Yang lebih penting daripada pelantikan KP J-Kom seperti yang saya telah sebut sebelum ini adalah kita sedang dalam proses merombak struktur itu jadi saya rasa itu yang menjadi keutamaan kepada Kementerian (Komunikasi).
“Saya lihat jabatan ini perlu disuaimanfaatkan, diselaraskan semula beberapa tindakan gerakan kerja," beliau berkata pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Apabila ditanya adakah proses pelantikan KP yang baharu itu melibatkan rombakan pegawai yang lain beliau hanya menjawab : "Ia akan melibatkan perubahan".
"Proses rombakan ini melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam, maka kita kena lalui proses itu.
"Saya menjangkakan proses dalam J-Kom ini akan mengambil sedikit masa," katanya.
KP J-Kom yang bakal diumumkan namanya tidak lama lagi bakal menggantikan penyandangnya Datuk Mohammad Agus Yusoff setelah beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa 15 Dis lepas.
Mohammad Agus dilantik sebagai KP J-Kom pada Februari 2023.
Mengulas mengenai pengganti jawatan Speaker Dewan Negara susulan pelantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Negeri, Fahmi berkata pengumuman nama calon tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum persidangan Dewan Negara akan datang.
"Nama telah dicadangkan dan diserahkan kepada PM untuk diumumkan,” katanya.
- Bernama